Otai Reformasi serah memo ke Selcat: 'Taman kucing' ditukar status
Kumpulan Otai Reformasi, diiringi aktivis Jamil Ismail atau Jamil Kucing telah menyerahkan memorandum kepada pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan ketelusan Selangor (Selcat) Ng Suee Lim.
Tujuan penyerahan memorandum itu adalah untuk menggesa Selcat mengadakan pendengaran awam berkenaan taman rekreasi kucing di Jalan Kolam Air Lama, Ampang Jaya yang telah ditukar menjadi Pusat Khidmat Rakyat DUN Bukit Antarabangsa.
Memorandum diserahkan oleh setiausaha Otai Reformasi, Abdul Razak Ismail dan diiringi oleh Jamil Kucing kepada pembantu peribadi Ng Suee Lim di perkarangan Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam hari ini.
Dalam memorandum tersebut, mereka meminta Ng untuk mengadakan pendengaran awam mengenai status bangunan tersebut.
Struktur itu yang pada asalnya menjadi tempat rekreasi untuk kucing telah diambil alih oleh Majlis Pembandaran Ampang Jaya(MPAJ) atas alasan mendapat bantahan dari orang awam.
"Ianya tidak logik kerana tiga bulan sebelum pembinaan dijalankan, orang awam boleh kemukakan bantahan
"Namun tiada bantahan diterima sehinggalah ianya siap dan papan tanda dinaikkan," kata Jamil kucing.
Tuntut petempatan baru kucing
Razak berkata terdapat agenda politik di sebalik penukaran tersebut kerana ia ditukar menjadi pejabat khidmat DUN Bukit Antarabangsa.
"Bila kita minta penjelasan dari MPAJ, mereka kata ada bantahan awam.
"Tapi SPCA yang terletak berhadapan bangunan tersebut dan juga bersebelahan taman perumahan, tiada bantahan pula," katanya lagi.
Sebelum ini, Jamil Kucing menuntut petempatan baru daripada kerajaan negeri Selangor dengan menyerahkan memorandum kepada exco kerajaan tempatan, Ng Sze Han, bagi menempatkan kucing-kucing terbiar di Jalan Kolam Air Lama, Ampang Jaya.
Jamil, 42, membuat tuntutan itu selepas mendakwa pihak berkuasa tempatan "merampas” premis pusat jagaan kucing terbiar dan kini dijadikan pejabat Adun Bukit Antarabangsa Mohamed Azmin Ali.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai