Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Peguam petik surat 'bersihkan' Musa untuk cabar pertuduhan

Pasukan peguam bela kepada Musa Aman berkata mereka akan mencabar pertuduhan pengubahan wang haram dan rasuah melibatkan bekas ketua menteri Sabah itu.

Peguam, Ng Aik Guan mempersoalkan kandungan dua sijil yang dikemukakan pegawai diplomatik Malaysia di Hong Kong dan Singapura kepada pihak pendakwa, berhubung kait tuduhan melakukan kesalahan di kedua-dua negara berkenaan.

"Setakat ini dari segi keaslian, tandatangan pegawai, tidak ada pertikaian.

"Tetapi dari segi kesesuaian kandungannya, itu ada perselisihan," kata Ng yang menyatakan kepada Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Rozina Ayub bahawa permohonan rasmi akan dibuat untuk mencabar kandungan sijil berkenaan.

"Kami mendapati pelik apabila pegawai diplomatik kami di Hong Kong dan Singapura juga mengeluarkan pensijilan di bawah Seksyen 82 (2) Amla untuk 16 pertuduhan ini," katanya merujuk pendakwaan terbaru terhadap Musa yang didengar hari ini.

Terdahulu, Musa menghadapi 16 pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 berjumlah kira-kira AS$37.8 juta.

Ng bagaimanapun berhujah pihak berkuasa di Hong Kong - di mana kesalahan itu didakwa - pada Disember 2011 telah secara rasmi memaklumkan kepada anak guamnya bahawa mereka telah menyelesaikan siasatan dan kes itu diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut.

Ng mengulangi kenyataan menteri undang-undang, Nazri Aziz pada tahun 2012 yang membersihkan Musa daripada tuduhan itu, walaupun Anggota Parlimen Padang Rengas itu sendiri menafikannya.

Musa memetik nama Nazri pada November lepas selepas dia meminta dibicarakan atas 35 pertuduhan menerima rasuah sebanyak AS$ 63 juta sebagai pertukaran untuk kontrak pembalakan.

Menjawab dakwaan Ng, Timbalan Pendakwa Raya, Raja Rozela Raja Toran berkata, sijil itu hanya dikeluarkan untuk memberikan bidang kuasa kepada mahkamah Malaysia mendengar kes di mana kesalahan itu dilakukan di luar negara.

"Isu Tanpa Tindakan Selanjutnya oleh pihak berkuasa asing tidak timbul," katanya.

Hakim Rozina memberi tempoh selama sebulan kepada kedua-dua belah pihak suntuk memfailkan permohonan yang relevan dan mengosongkan tarikh antara 15 Julai dan 26 Julai sebagai tarikh perbicaraan.