Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Boleh ceramah jalan raya di sekolah, tapi usah bebankan pelajar

Cadangan untuk menyerap masuk sebahagian daripada kursus memandu ke sukatan pelajaran di sekolah boleh diterima asalkan ia tidak membebankan pelajar.

Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional, Mohamad Ali Hassan, menyambut baik cadangan itu namun meminta pihak yang berkenaan berhati-hati dan memperhalusinya terlebih dulu.

Ujarnya, cadangan itu - jika tidak dilaksanakan dengan teliti - dikhuatiri akan membebankan para pelajar yang sememangnya sibuk dengan pelbagai mata pelajaran.

Beliau juga mencadangkan agar sesi ceramah tersebut dijadikan secara terbuka dia sekolah berbanding diserap masuk sebagai sukatan pelajaran yang khusus.

“Saya bersetuju dengan cadangan itu cuma saya harap ia diperhalusi lagi agar ia tidak membebankan pelajar dan tidak mengambil masa yang banyak,” katanya kepada Malaysiakini.

Pada 28 Feb lalu Malaysiakini melaporkan Menteri Pengangkutan Anthony Loke bercadang untuk memasukkan sesi ceramah yang diwajibkan kepada semua calon yang memohon lesen memandu diajar di sekolah lagi.

Mencadangkan ia diajar pada pelajar tingkatan empat, langkah itu dapat menjimatkan masa, selain kurang membebaskan seseorang yang mahu mengambil lesen memandu.

Dapat pengecualian kredit

"Kalau ceramah ini boleh diterapkan dalam kurikulum sekolah, ini memberikan satu yang menarik kepada pelajar-pelajar kita supaya dia (pemohon lesen memandu) tak letih duduk enam jam belajar.

"Memang tempoh enam jam tu nak ingat, faham semua. Memang tak praktikal dan memang (menghadiri ceramah) enam jam itu sesuatu yang diwajibkan," katanya.

Cadangan itu juga mendapat reaksi positif daripada Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik yang hadir di majlis berkenaan.

Mohamad Ali berkata sebelum cadangan itu dilaksanakan kerajaan juga perlu mengambil kira faktor umur pelajar yang didedahkan dengan ceramah tersebut.

“Kalau didedahkan kepada pelajar sekolah rendah atau pelajar bawah 15 tahun, mungkin ia tidak sesuai,” katanya.

Sementara itu Presiden Persatuan Institut Memandu Malaysia, Mat Aris Abu Bakar, berkata pihaknya juga menyambut baik cadangan tersebut.

Menurutnya, cadangan itu memang patut dipertimbangkan kerana ia boleh membudayakan amalan selamat di jalan raya sejak di peringkat sekolah.

Gambar fail

Malah kata Mat Aris ceramah tersebut lebih baik diterapkan di peringkat sekolah dan universiti seperti yang diamalkan di beberapa negara luar.

“Di Binghampton University di New York, mereka mempunyai subjek berkenaan keselamatan jalan raya.

"Mana-mana pelajar yang mengambil subjek tersebut dan lulus, akan dikecualikan daripada menduduki ujian kod lebuh raya (highway code test),” katanya.

Selain itu, menurut Mat Aris, jika ceramah itu diajar di sekolah atau universiti pelajar yang telah menduduki ceramah tersebut akan diberikan pengecualian kredit.

“Kalau pelajar telah menduduki ceramah tersebut di sekolah, kita akan berikan pengecualian kredit kerana telah mempunyai pengetahuan awal mengenai silibus memandu," katanya.

Bagaimanapun Mat Aris menjelaskan ceramah tersebut adalah sebahagian kecil daripada sukatan pelajaran yang diajar sekolah memandu.

Katanya aspek yang lebih penting ialah latihan di dalam litar.

Namun begitu, beliau menyatakan guru-guru yang terlibat juga perlu mendapat latihan khas dan memahami silibus tersebut sebelum boleh mengajarnya.