5 laporan polis dibuat susulan kenyataan Mujahid dimanipulasi
Lima laporan polis dibuat berhubung penyebaran fitnah terhadap kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusof Rawa, yang dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab di dalam media sosial.
Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata kenyataan Mujahid yang dimanipulasi itu merujuk kepada himpunan membantah penghinaan Nabi Muhammad SAW dan agama Islam yang diadakan Jumaat lepas.
"Yang Berhormat Menteri telah pun menegaskan bahawa kenyataan asal beliau mengenai perhimpunan itu dimanipulasi sehingga tersasar daripada konteks asal. Sehubungan itu, wakil pejabat menteri telah pun membuat lima laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian, Perak pada Ahad (semalam)," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu juga menegaskan meskipun kerajaan pada hari ini sentiasa terbuka dan menyokong kebebasan bersuara serta kebebasan media, namun masyarakat dinasihatkan supaya sentiasa peka dan berhati-hati agar tidak menyebarkan fitnah dan berita palsu.
Mujahid dalam satu hantaran Facebooknya semalam berkata himpunan itu tidak perlu diadakan lagi kerana kerajaan telah pun mengambil tindakan perundangan mengikut peruntukan di bawah undang-undang jenayah.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai