Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Pengundi Cina kurang keluar mengundi sebab kecewa PH - Badan pemikir MCA

Kadar keluar mengundi yang rendah di kalangan orang Cina dalam PRK Semenyih berbanding pada PRU14 lalu disebabkan ramai pengundi yang kecewa dengan kerajaan Pakatan Harapan, maklum Institute of Strategic Analysis and Policy Research (Insap), sebuah badan pemikir yang ditubuhkan MCA.

"Keputusan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Baharu Semenyih yang mempunyai 82 peratus pengundi Cina menunjukkan BN berjaya meraih 13.1 undi berbanding dengan 12.1 peratus pada 2018.

"Bagaimanapun, sokongan terhadap sokongan BN juga sebahagiannya dibantu peratusan keluar mengundi yang lebih rendah di kalangan pengundi Cina yang telah menzahirkan kekecewaan mereka terhadap pentadbiran semasa namun belum bersedia untuk membuat pilihan parti yang hendak disokong.

"Keputusan di PDM Kampung Baharu Semenyih yang sama menunjukkan penurunan sokongan PH dari 81 peratus (2018) kepada 79 peratus (2019)," kata Pengerusi Insap Pamela Yong.

Bagaimanapun, kenyataan 'berbaur perkauman' daripada Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung BN Mohamed Nazri Aziz, kata Yong telah menyebabkan kurangnya sokongan pengundi Cina terhadap BN.

Menurutnya walaupun sokongan orang Melayu terhadap PH merosot daripada 44 peratus (PRU4) kepada 36 peratus, penurunan itu cuma sekitar satu peratus sahaja di kawasan PDM tertentu yang mempunyai majoriti pengundi Cina.

Yong yang juga timbalan ketua Wanita MCA Sabah berkata BN telah gagal untuk meraih sokongan pengundi Cina yang kecewa dengan PH.

"Kekurangan sokongan pengundi Cina kepada BN serentak dengan merosotnya sokongan pengundi Cina kepada PH sebahagian besarnya merupakan tindak balas terhadap kenyataan tidak sensitif yang dibuat oleh pimpinan tertinggi Umno/ BN ketika berkempen PRK Semenyih.

"Pengundi Cina di Semenyih bertegas menolak kenyataan perkauman dan bersifat menghasut yang dibuat oleh Nazri terhadap kaum Cina dan etnik minoriti lain di sekolah-sekolah vernakular (Cina dan Tamil) serta kenyataan Mohamad bahawa 'terdapat ramai penumpang di Parlimen' semasa tempoh kempen di Semenyih," katanya.

Yong turut memberi amaran mengenai kemunculan kuasa ketiga berasaskan kaum oleh Umno dan PAS.

"Dengan pola pengundian pada dua pilihan raya kecil yang lalu bergerak ke arah politik perkauman dan dengan kemenangan Semenyih dipuji sebagai tsunami mini Melayu, ditambah pula dengan pengundi Cina yang tegas terhadap BN ala MCA, ia petanda baik untuk kerjasama antara kedua-dua juara orang Melayu dan Islam ini.

"Landskap politik semasa seolah-olah kondusif untuk Umno dan PAS untuk merangsang (kerjasama) ini dengan lebih lanjut lagi," katanya.

Kerusi DUN Semenyih kembali dikuasai BN selepas pengundian pada 2 Mac lalu. Ia pertukaran kerusi yang pertama sejak PRU14.

PRK Semenyih juga merupakan kemenangan kedua BN dalam enam PRK yang diadakan selepas PRU ke-14.

Calon BN Zakaria Hanafi mendapat 19,780 undi menang dengan majoriti 1914 undi mengalahkan pesaing terdekatnya calon PH Muhammad Aiman Zainali yang memperolehi 17,866 undi.

BN mendapat 50.44 peratus undi, meningkat daripada 30.88 peratus pada PRU lalu. Boleh dikatakan antara faktor utama peningkatan itu adalah undi daripada penyokong PAS.

Calon PSM Nik Aziz Afiq Abdul mendapat 847 undi dan calon Bebas Kuan Chee Heng 725 undi. Kedua-dua calon bebas dan PSM hilang wang pertaruhan.

Dengan kemenangan ini, BN kini mempunyai lima kerusi DUN di Selangor manakala kerusi PH pula berkurangan kepada 50.