Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Fokus Mara 2019 - Golongan B40 jadi keutamaan MRSM

Antara fokus Majlis Amanah Rakyat (Mara) tahun ini bawah pimpinan pengerusi baru Dr Hasnita Hashim adalah untuk terus memastikan golongan berpendapatan rendah (B40) diberi keutamaan dalam pendidikan.

Hasnita berkata Mara mahu memastikan sekurang-kurangnya 60 peratus kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara adalah daripada golongan itu.

"Kita ingin kembali ke tujuan asal MRSM dengan memastikan sekurang-kurang 60 peratus pelajarnya terdiri daripada B40," katanya dalam program bersama pemberita di Kuala Lumpur, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata 68 peratus - atau 4,492 pelajar - kemasukan MRSM bagi 2018 melibatkan golongan B40.

Dasar itu ditetapkan tahun lalu bagi membolehkan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah tidak tercicir daripada mendapatkan pendidikan yang lebih bermutu.

Awal tahun ini, Mara memperkenalkan Program Bantuan Untuk Pendidikan Mara (Budi) untuk membantu pelajar MRSM daripada golongan miskin tegar, antaranya menerusi pemberian elaun bulanan RM50, pengecualian yuran, serta bantuan lain seperti alat tulis dan pakaian sekolah.

Dr Hasnita Hashim

Selain fokus kepada golongan B40, Hasnita juga berkata Mara akan berusaha menaikkan semula MRSM sebagai institusi pendidikan elit di Malaysia.

"Kita mahu menjadikannya pusat kecemerlangan dan menghasilkan pelajar yang termasuk dalam sepuluh peratus terbaik negara.

"Untuk itu, kita akan fokus kepada kurikulum dan inti pati subjek, latihan guru serta memasikan pembelajaran dan pengajaran menjadikan pelajar kreatif, kritis dan inovatif," katanya lagi.

Hasnita dilantik mengemudi Mara pada 26 September lalu bagi menggantikan bekas menteri kewangan Dr Awang Adek Hussin. Sebelum itu, beliau merupakan pengerusi Maybank Asset Management Group.

Dalam bidang keusahawanan pula, Hasnita berkata Mara akan memberi tumpuan kepada tiga ciri utama, iaitu memastikan usahawan bawah tajaannya kekal mapan, membantu perniagaan yang berjaya untuk berkembang lebih besar dan membantu start up.

Bagaimanapun, katanya lagi, Mara akan mengenakan kriteria yang ketat bagi start up yang mahu mendapatkan tajaannya.