Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

AG heret Shafee ke mahkamah atas dakwaan menghina

Peguam Negara Tommy Thomas mendapat kebenaran untuk mengheret Muhammad Shafee Abdullah ke mahkamah atas tuduhan menghina.

Ini adalah berhubung ulasan Shafee di video KiniTV yang bertajuk “Shafee: This is completely bonkers”.

Permohonan untuk mendapat kebenaran Tommy diluluskan oleh hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Firuz Jaffril pagi ini dan pengurusan kes untuk saman sivil itu kemudiannya ditetapkan pada 25 Mac.

Tommy diwakili oleh peguam kanan persekutuan Shamsul Bolhassan.

"Hari ini adalah perbicaraan untuk permohonan ex parte kerana menghina.

"Nampaknya mahkamah berpuas hati dan memberikan kebenaran," katanya kepada wartawan di luar mahkamah.

Shamsul Bolhassan

Menurutnya, kertas pertuduhan akan disampaikan kepada Shafee "dalam masa 14 hari".

Dalam video tersebut, antaranya Shafee dirakamkan sebagai berkata:

“[...] But we think our case is very good. Ok? If you leave the judge alone, do not influence the judge, if the judge is straight, if witnesses are not coached and not fabricated evidence, we should win. Ok?

“Much to our surprise. My opinion is we should win. Ok? Alright.” atau terjemahannya

"[...] Tetapi kita fikir kes kita sangat baik. Ok? Jika kamu tidak ganggu hakim, jangan pengaruh hakim, jika hakim itu lurus, jika saksi tidak diajar dan tidak menipu bukti, kita harus menang. Ok?

"Kami terkejut. Pendapat saya ialah kita harus menang. Ok? Baiklah."

Shafee membuat ulasan itu selepas anak guamnya, bekas perdana menteri Najib Razak, diberikan pelepasan yang tidak membebaskannya berhubung tiga pertuduhan pengubahan wang haram pada 7 Februari lalu.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Thomas memperoleh kebenaran Mahkamah Tinggi untuk memulakan prosiding komital (hina mahkamah) terhadap peguam Muhammad Shafee berhubung kenyataan media yang dibuatnya berkaitan kes bekas perdana menteri Najib Razak.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Firuz Jaffril membenarkan permohonan 'ex-parte' (sebelah pihak) yang difailkan oleh Thomas untuk memulakan prosiding komital terhadap Muhammad Shafee.

"Mahkamah menetapkan 25 Mac untuk pengurusan kes," kata Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan yang mewakili Peguam Negara itu kepada pemberita selepas kes didengar di dalam kamar.

Premohonan ex-parte itu difailkan pada Februari tahun ini di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi yang menamakan Muhammad Shafee seorang sahaja sebagai defendan.

Dalam permohonannya, Peguam Negara berkata Muhammad Shafee adalah seorang peguam bela dan peguam cara, yang mewakili Najib (tertuduh) yang telah didakwa di Mahkamah Tinggi atas beberapa kesalahan berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad.

Beliau berkata pada 7 Feb 2019, selepas selesai prosiding membabitkan tertuduh di Mahkamah Tinggi, defendan telah wawancara beberapa wartawan di luar kamar mahkamah, dan ia dirakam oleh seorang juruvideo dari Kinitv.com dan disiarkan oleh Kinitv yang boleh dilayari di https://m.kinitv.com/video/70311O8.

Thomas mendakwa defendan mengetahui atau sepatutnya mengetahui bahawa kenyataannya yang menyingung perasaan itu adalah menghina hakim dan boleh menjejaskan pelaksanaan keadilan dan keyakinan orang ramai terhadap sistem keadilan di Malaysia.

Beliau berkata defendan mengetahui atau sepatutnya mengetahui bahawa kenyataannya yang menyinggung perasaan itu sudah tentu akan dengan secara jelas meletakkan hakim perbicaraan pada satu kedudukan yang memalukan dan mewujudkan satu ketidaktentuan mengenai keadilan dan kesaksamaan keputusan kes jenayah itu.

Beliau mendakwa kata-kata itu dituturkan dengan sengaja oleh defendan dengan niat hendak cuba memberi tekanan dan mempengaruhi keputusan mahkamah dalam kes jenayah itu.

Thomas menghujahkan bahawa kenyataan yang menyinggung perasaan itu dibuat sebaik sahaja selesai prosiding membabitkan tertuduh yang hanya membawa satu maksud dan berniat untuk menghina mahkamah dan hakim-hakim, dan ia akan menjejaskan pelaksanaan keadilan dan keyakinan awam terhadap sistem keadilan di Malaysia.

Beliau seterusnya berkata, dengan mempertimbangkan kata-kata itu secara keseluruhannya, ia secara munasabah memberi tanggapan kepada orang awam bahawa jika tertuduh disabitkan dengan kesalahan itu, hakim perbicaraan adalah tidak betul, hakim dipengaruhi, saksi-saksi diajar dan bukti-buti direka-reka.

Beliau berkata kata-kata itu juga bukan sahaja boleh memberi kesan buruk kepada imej dan martabat mahkamah dan hakim-hakim di Malaysia, tetapi juga meletakkan hakim perbicaraan pada satu kedudukan yang memalukan, kata-kata itu akan mewujudkan satu situasi ketidaktentuan mengenai tercapai atau tidaknya keputusan yang adil dan saksama dalam kes itu.

Sementara itu, Muhammad Shafee, yang ditemui pemberita kemudian berkata beliau akan mencabar prosiding komital terhadapnya itu.