Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Umno: Kempen Melayu PAS, Umno tak ancam kaum lain

PRK SEMENYIH | Kaum-kaum lain di negara itu diminta tidak khuatir dengan usaha Umno dan PAS menyeru kepada penyatuan Melayu kerana ia tidak akan memudaratkan kata Mohamad Hasan.

Pemangku Presiden Umno itu berkata ia terbukti sejak BN yang ditunjangi Umno mentadbir negara, rakyat berbilang kaum hidup dalam suasana aman damai.

"Janga risau apabila orang Melayu bersatu, ia tak akan mendatangkan kemudaratan kepada negara atau kaum-kaum lain.

"Sudah terbukti 60 tahun orang Melayu mentadbir negara ini Umno khususnya, BN dapat mentadbir negara ini dan rakyat berbilang kaum hidup dalam keadaan aman damai, hidup dalam keadaan tenteram dan sejahtera.

"Kita punya perpaduan, semakin lama semakin erat," katanya ketika ditemui media selepas menyampaikan ceramah di Bandar Seri Putra, Bukit Mahkota, Bangi, malam tadi.

Hadir sama Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Umno dan PAS menjalinkan kerjasama selepas BN tumbang dalam PRU ke-14 yang diadakan pada 9 Mei tahun lalu.

Kerjasama itu semakin erat apabila Umno dan PAS mencapai persetujuan khususnya membabitkan calon bertanding dalam beberapa siri PRK.

PRK DUN Sungai Kandis menyaksikan PAS memberi laluan kepada BN bertanding, manakala Umno pula menyokong PAS dalam PRK DUN Seri Setia.

PRK Cameron Highlands menyaksikan kerjasama lebih hebat di antara dua parti itu yang membolehkan BN memperoleh kemenangan sulung selepas PRU ke-14.

Bagaimanapun untuk rekod kerusi parlimen Cameron Highlands memang menjadi kubu kuat BN sejak sekian lama.

Momentum kerjasama baik itu diteruskan pada PRK DUN Semenyih sehingga jentera PAS turut digerakan bersama jentera BN.

Menurut Mohamad, Umno dan PAS akan duduk semeja pada 7 Mac nanti bagi membincangkan garis panduan kerjasama kedua-dua parti.

Dalam pada itu Mohamad yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan berkata, sejak akhir-akhir ini situasai politik negara menyaksikan hubungan antara kaum dilihat mulai longgar.

"Setelah 10 bulan, keadaan politik tanah air meyaksikan hubungan kaum di tanah air nampaknya semakin lama semakin longgar dan mendatangkan keresahan kepada orang Melayu khususnya umat Islam.

"Perasan hormat antara satu sama lain nampaknya sudah tak ada lagi dan ini sangat merungsingkan," katanya.