Dr M: Sokongan dua pertiga bagi tunai janji hadkan tempoh PM
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata usaha untuk mendapatkan dua pertiga sokongan wakil rakyat dalam parlimen adalah bagi memastikan Pakatan Harapan (PH) dapat menunaikan janji yang melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan.
Dr Mahathir menyorot bahawa janji itu termasuklah untuk mengehadkan kuasa perdana menteri untuk dua penggal saja.
"Jadi kalau kita dah ada cukup dua pertiga, kita akan pindah perlembagaan tapi bukan nak pindah untuk buang raja, atau sekat raja.
"Semua tak nak, yang kekal macam itulah. Saya tak boleh pindah yang itu. Tetapi kita nak pindah berkenaan (seperti) had umur untuk mengundi...Kita juga nak tukar nak jadikan perdana menteri kurang berkuasa.
"Kita nak hadkan perdana menteri kepada dua penggal saja. Dua kali PRU saja. Itu juga memerlukan pindaan perlembagaan," katanya.
Penganalisis politik berpendapat, cara terbaik untuk mengehadkan tempoh pemerintahan seseorang perdana menteri adalah dengan meminda Artikel 45 Perlembagaan Persekutuan dan menetapkan had umur seperti yang dikenakan pada hakim mahkamah persekutuan.
Susulan tindakan sekumpulan pemimpin Umno keluar parti, PH serta sekutunya Warisan kini mendapat sokongan 134 ahli parlimen dalam Dewan Rakyat, selain kemungkinan mendapat lima lagi sokongan wakil rakyat Sabah - empat wakil rakyat bebas dengan seorang dari Upko.
Sekiranya kesemua 18 ahli parlimen PAS menyokong Mahathir, menjadikan jumlah keseluruhan 157, pengerusi PH itu akan mempunyai dua pertiga majoriti parlimen.
PAS sebelum ini menyatakan sokongan terhadap Mahathir dan menimbulkan spekulasi bahawa sokongan itu bagi menangani usaha parti komponen PH yang mahu membuat undi tidak percaya terhadap perdana menteri.
Mahathir hari ini bagaimanapun berkata, sokongan dua pertiga itu hanya boleh diperoleh apabila sesebuah parti menyokong parti lain.
"Ada orang janji nak sokong saya. Saya bukan parti, saya seorang wakil saja. Satu parti sokong parti, baru boleh dapat sesuatu," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai