Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Takiyuddin beri keterangan hampir 5 jam kepada SPRM

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan selesai memberikan keterangan selama hampir lima jam kepada Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan PAS menerima RM90 juta daripada Umno.

Beliau kelihatan keluar daripada Ibu Pejabat SPRM pada jam 1.50 petang bersama Setiausaha Politik Presiden PAS, Syahir Sulaiman.

Ketika ditemui pemberita, beliau berkata antara topik utama keterangannya adalah berkenaan dakwaan memiliki kenderaan yang dibeli menggunakan sebahagian daripada RM90 juta tersebut.

"Tujuan saya datang adalah kerana nama saya antara yang disebut dan pembelaan dalam saman itu menyebut nama-nama pimpinan PAS. Saya ingat dalam sepuluh nama (yang disebut).

"Jadi saya datang untuk beri keterangan mengenai dakwaan kononnya saya ada kereta dengan nombor pendaftaran eksklusif dibayar daripada wang RM90 juta," katanya selepas hampir lima jam memberi keterangan.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut nama sepulu pemimpin PAS yang dimaksudkannya bagaimanapun berkata mereka akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM.

"Kita akan beri kerjasama dan akan minta mereka yang disebut untuk berjumpa pegawai SPRM di Kelantan, Terengganu dan Perlis," katanya lagi.

Pagi tadi media melaporkan Anggota Parlimen Kota Bharu itu tiba di pejabat SPRM Putrajaya kira-kira jam 9.20 pagi tadi.

25 Februari lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Mohd Shukri Abdull berkata bahawa hasil siasatan menunjukkan tiada dana berkaitan 1MDB dikesan dimasukkan ke dalam akaun rasmi PAS.

Bagaimanapun sumber memberitahu Malaysiakini bahawa akaun yang diteliti adalah akaun yang didaftar di bawah nama parti dan bukannya akaun peribadi pemimpin PAS.

Sejak siasatan SPRM bermula pada 6 Februari lalu, suruhanjaya itu telah mengambil keterangan anggota jawatankuasa pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan bekas timbalan ppresiden Nasharudin Mat Isa.

Ia susulan laporan terhadap SPRM, selepas Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang menyelesaikan samannya terhadap pengarang Sarawak Report Clare Rewcastle Brown di luar mahkamah.