Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Lebih 50 aktivis nyatakan sokongan pada Nik Aziz

PRK SEMENYIH | Seramai 52 aktivis yang mendakwa pernah menjadi penyokong PH hari ini memberi 'restu' buat Nik Aziz Afiq Abdul supaya calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) itu dimenangkan pengundi.

Kata mereka, keputusan itu diambil apabila melihat PH gagal melaksanakan janji serta mengabaikan rakyat selepas memenangi PRU ke-14 lalu.

Peguam dan aktivis gerakan Asalkan Bukan Umno, Haris Ibrahim, berkata PH jelas gagal melaksanakan pembaharuan seperti dijanjikan sebelum menawan Putrajaya.

"Politik yang memperdayakan rakyat ini, bagi saya biadab dan tak faham siapa raja. Raja di Malaysia ialah rakyat.

"Raja ini yang menentukan 222 (anggota parlimen) yang kemudiannya menentukan perdana menteri (dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong).

"Kehidupan rakyat susah, menteri pula jelas membuktikan kerajaan hari ini menjaga kepentingan industri, bukan rakyat," katanya dalam sidang media di pejabat parti itu di Semenyih, pagi tadi.

PRK Semenyih menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan Zakaria Hanafi dari BN, Muhammad Aiman Zainali (PH), Nik Aziz (PSM) dan Kuang Chee Heng (bebas).

Turut menyatakan sokongan kepada Nik Aziz, aktivis dan bekas anggota parlimen DAP, Dr Kua Kia Soong.

Kata Kua, pengundi Semenyih perlu menyokong calon PSM memandangkan calon PH dan BN datang daripada parti berasaskan kaum.

Sementara itu Nik Aziz berkata, beliau tidak 'dipayung' mana-mana tauke atau ahli korporat untuk bertanding dalam PRK Semenyih.

"Saya tak ada tauke-tauke atau ahli korporat mahupun pemodal, tapi yang bagi sokongan ialah aktivis dan pertubuhan bukan kerajaan," katanya.