Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Dikaitkan dengan Rosmah, calon BN buat laporan polis

PRK SEMENYIH | Dipapar dan dikaitkan dengan Rosmah Mansor, calon BN Zakaria Hanafi hari ini membuat laporan polis ekoran kain rentang yang dianggap berunsur provokasi didapati digantung di sekitar Semenyih.

Antara kain rentang yang menjadi isu itu memaparkan gambar Zakaria bersama gambar Rosmah; suaminya, Najib Razak, dan individu yang dikehendaki polis di beberapa negara termasuk Malaysia, Jho Low.

Kata Zakaria dia menyedari kewujudan kain rentang itu di tepi jalan utama selepas menghadiri program bertemu pengundi di Pasar Beranang.

“Pada saya kain rentang sebegini melibatkan peribadi, jadi kenyataan ini tidak benar.

"Tapi tak apalah, saya pegang kepada prinsip berkempen secara bersih, sihat dan gentlemen,” katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita di hadapan Balai Polis Semenyih sejurus selepas membuat laporan polis.

Zakaria turut membawa beberapa kain rentang yang dicabut, antara lain memaparkan kenyataan:

* Undilah BN jika ingin rompakan Rosmah berulang

* Saya janji bawa Rosmah jika BN menang di Semenyih

* 1MDB dan Jho Low rekaan PH untuk jatuhkan BN YAB Datuk Seri Najib dan YAB Datin Seri Rosmah Mansor tidak bersalah.

Menurut Zakaria dia diberitahu kain rentang seumpama itu turut dipasang sehingga ke kawasan Sri Putra, Batu 5 Bangi dan Seri Jenaris.

Dalam laporan polis tersebut, Zakaria menafikan pernah memasang atau mengarahkan mana-mana individu atau kumpulan tertentu menaikkan kain rentang berunsur provokasi tersebut.

Dalam perkembangan lain, Zakaria memberitahu dalam fasa akhir kempen PRK ini dia dalam misi untuk bertemu semua penduduk Semenyih secara bersemuka.

“Saya nak jumpa 100 peratus pengundi di sini, memang diarah jumpa bersemuka, jumpa dan bersalam.

“Sekarang baru 80 peratus,” katanya lagi.