Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

'YB, ramai lagi anak Orang Asli tak sekolah'

PRK SEMENYIH | Ada satu lagi permasalahan Orang Asli yang perlu diberi perhatian serius oleh wakil rakyat yang bakal dipilih dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Semenyih pada 2 Mac ini.

Di sebalik isu pemilikan tanah, bekalan air bersih serta jalan tidak berturap di perkampungan Orang Asli Kampung Sungai Lalang Baru, pendidikan dilihat satu-satunya jalan keluar yang dapat membawa mereka keluar daripada kemiskinan membelenggu mereka sejak sekian lama.

Ketika tinjauan Malaysiakini di kampung tersebut, biarpun segelintir penduduknya tidak kekok dengan tablet dan telefon pintar, namun berpuluh-puluh anak Orang Asli masih tidak ke sekolah.

Bagi Tok Batin Kampung Sungai Lalang Baru, Aleh Abdullah, 53, beliau berpendapat hanya pendidikan yang dapat membantu anak-anak muda Orang Asli meningkatkan taraf hidup dan mempunyai kehidupan yang lebih baik.

“Nombor satu pendidikan, (bagi) membantu budak-budak (di sini) untuk ke depan,” katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Aleh, dia berharap agar anak-anak Orang Asli di situ mendapat pendidikan serta mampu mendapatkan pekerjaan tetap berbanding mencari hasil hutan yang semakin berkurangan.

Galakan ibu bapa

Tambahan pula, hasil hutan seperti petai dan madu tualang juga dikutip mengikut musim dan bukannya ada sepanjang tahun.

“Sekarang hutan, macam manau (sejenis rotan), damar, sudah kurang. Kalau kerja ramai, di satu tempat itu tak sampai sebulan pun dah habis.

“Kerja hutan, dalam sebulan tu (dapat) dalam lima ke enam ratus, adalah. Kalau ribu-ribu itu tak adalah.

“Elok kerja luar, lagi bagus. Saya nak perubahan yang macam itulah (untuk anak Orang Asli),” katanya lagi.

Tambah Aleh, beliau berharap anak-anak Orang Asli dapat diberi kemudahan asrama di sekolah bagi membantu mereka memberi perhatian terhadap pelajaran.

Katanya, hal itu kerana di kampung tersebut, ibu-bapa Orang Asli sendiri tidak memberikan galakan yang sewajarnya untuk anak-anak mereka terus ke sekolah.

“Daripada mak ayah lah, tak galakkan. Kalau dia galakkan, dia sekolah. [...] Masalah utama mak ayah,” tambahnya lagi.

Kampung Sungai Lalang Baru terletak di pinggir Jalan Sungai Lalang di pusat daerah mengundi (PDM) Hulu Semenyih, tidak jauh dari kawasan rekreasi Sungai Tekala.

Sekolah rendah yang paling dekat ialah Sekolah Kebangsaan Ulu Semenyih yang terletak hanya kira-kira 1.4 km daripada kampung itu.

Bagaimanapun, Sekolah Menengah Kebangsaan Engku Husain yang agak jauh- kira-kira 14 km jaraknya - mungkin menjadi faktor kebanyakan anak Orang Asli tidak mahu meneruskan persekolahan.

Pendapat Aleh itu turut dikongsi oleh pemandu van sekolah yang dilantik khas oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) untuk kampung tersebut, Hashim Anak Bujang, 54.

“Bukan tak ada yang pandai, tapi galakan mak ayah tu kurang. Tu saja. Pasal dia kalau nak main, (dibiarkan) main sahajalah. Memang itu saja, dari dulu sampai sekarang,” katanya.

Tambah Hashim, sebahagian anak muda di kampung itu masih melakukan kerja kampung seperti mencari daun pisang dan pucuk ubi, sementara sebahagian lagi bekerja sebagai buruh di kawasan perkuburan orang Cina di Nirvana Memorial Park dan dibayar secara harian.

Seperti Aleh, Hashim juga memandang pendidikan satu-satunya jalan bagi membantu anak-anak Orang Asli di kampungnya itu.

“Macam saya ni ha, nak baca pun merangkak-rangkak. Dah macam mana? Nak eja ayam pun belum tentu lagi lepas. Penting (pendidikan).

“Kalau boleh masa depan, dapatlah (anak Orang Asli di sini) jadi doktor, kalau tidak pun jadi cikgu, pun jadilah. Tak sampai (masih belum ada),” katanya dalam nada perlahan.

Tinjauan Malaysiakini di kampung tersebut mendapati ada satu perpustakaan yang disediakan oleh yayasan kebajikan Budimas di sebelah balai raya kampung.

Perpustakaan itu bukan sahaja selesa, malah dilengkapi dengan pelbagai jenis buku yang tersusun kemas di rak.

Sikit-sikit kena pukul, disebat

Usaha yang baik itu bagaimanapun tidak dimanfaatkan sebaiknya apabila tidak ramai anak-anak Orang Asli berminat untuk membaca buku di situ.

Menurut kakitangan yang menjaga perpustakaan tersebut, Salasiah Aisyah Tegas, 31, kebanyakan rumah Orang Asli terletak di atas bukit dan hal itu menyukarkan mereka untuk selalu turun ke perpustakaan itu.

Namun, Salasiah mengakui pihak Budimas tetap berusaha menganjurkan kelas khas pada setiap hari Sabtu bagi menyediakan aktiviti bermanfaat kepada anak Orang Asli melalui projek-projek sains.

Jika Aleh dan Hashim teragak-agak dalam memberikan anggaran anak Orang Asli yang tidak bersekolah, seorang remaja Orang Asli yang sudah tidak bersekolah sejak tahun lepas, Sharifudin Ahmad Shukri, 14, berkata jumlah mereka yang tidak bersekolah mencecah 30 orang.

Katanya, beliau kini kadang-kadang bekerja di kem pengakap berhampiran kampung dengan bayaran RM20 sehari, tetapi khidmatnya hanya diperlukan kadang-kadang sahaja.

Ditanya tentang sebabnya tidak mahu meneruskan persekolahan, anak bongsu daripada empat beradik itu menjawab dia ‘hari-hari kena marah dengan cikgu’.

“Cikgu marah, kalau tak buat kerja sekolah siap, sikit-sikit kena pukul, kena sebat bontot,” katanya yang tidak bercadang menyambung persekolahannya sampai bila-bila.