Saksi dakwa Adib buat isyarat seperti ditarik
Anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim membuat pergerakan tangan kirinya apabila ditanya sama ada dia ditarik pada malam rusuhan di kuil Seafield Sri Mahariamman.
Pembantu Pegawai Pembedahan Institut Jantung Negara (IJN) Mohammad Ashraf Baruji, 27 berkata beliau menerima respon dari Adib semasa salah satu interaksi antara mereka selepas satu sesi fisioterapi pada malam antara 10 dan 12 Dis.
"Bila saya mula menyediakan Adib untuk tidur, saya bertanya soalan.
"Adib ingat tak apa yang jadi? Pada mulanya Adib menggelengkan kepala. Kemudian saya cakap dengan dia tak apalah, kalau Adib teringin nak cerita, bagitahu je," kata Mohammad Ashraf, saksi ke-16 dalam inkues untuk menentukan kematian Muhammad Adib.
"Bila saya pusingkan badan untuk beredar, Adib menarik lengan baju saya.
"Adib angguk dan menunjukkan isyarat nak menulis. Saya bagi papan putih pada Adib. Saya tanya pada Adib, "Adib kena tarik ke?" Dia gunakan tangan kiri tunjuk isyarat (seperti ditarik),"kata Ashraf.
Ashraf berkata beliau terus bertanya Adib sama ada anggota bomba itu terjatuh.
"Adib gelengkan kepala dan buat isyarat pusing tangan kiri," kata Ashraf kepada soalan dari pegawai penganalisis inkuiri Hamdan Hamzah, sambil menambah Adib juga menggerakkan tangan kiri beberapa kali.
Ashraf berkata soalan terakhirnya kepada Adib pada malam itu ialah sama ada anggota bomba itu sedar di mana beliau berada ketika itu.
"Adib menunjuk jari telunjuknya ke bawah," kata Ashraf yang menandakan bahawa Adib tahu dia berada di hospital.
Ashraf menerangkan keadaan Adib secara umumnya sedar dan dapat memahami soalannya yang disampaikan menggunakan bahasa isyarat serta menulis di papan tulis kecil.
Ashraf sebak ingat permintaan Adib
Beliau juga mengatakan Adib beberapa kali menulis nama ibu, bapa dan tunangnya untuk melihat mereka.
Inkues di hadapan koroner Rofiah Mohamad itu dihentikan seketika apabila Ashraf tidak dapat menahan sebak dan menitiskan air mata ketika mengingat permintaan terakhir Adib untuk meminum jus buah, semasa satu lagi perbualan antara mereka.
"Paling saya terkesan, dia ada tulis dia nak minum air buah. Saya cakap 'Adib cepat sihat', Ashraf orang pertama yang akan turun belikan air buah untuk Adib," katanya sebak.
Ashraf merupakan sebahagian daripada pasukan Extracorporeal Membrane Oxygenation (ECMO) IJN yang bertanggungjawab terhadap Adib sehingga allahyarham menghembuskan nafas pada 17 Disember.
Selepas kematian Adib, Ashraf berkata beliau melawat keluarga anggota bomba itu di Kedah, serta melawat kubur allahyarham.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai