Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Kes 1MDB: Roger Ng tarik balik rayuan ikat jamin

Bekas pengarah urusan Goldman Sachs Roger Ng telah menarik balik rayuannya di mahkamah susulan tidak dibenarkan ikat jamin sejak ditahan pada 1 November 2018.

Peguam Tan Hock Chuan yang mewakili Ng memberitahu sidang panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini bahawa anak guamnya bersetuju untuk diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) bagi menghadapi pertuduhan di sana dan mengetepikan haknya untuk mencabar penahanan remannya itu.

Justery itu, Tan berkata pihaknya menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang dibuat oleh Hakim Colin Lawrence Sequerah, yang enggan memberikan ikat jamin kepada Ng sementara dia menunggu pendengaran kes ekstradisi ke AS.

Berikutan kenyataan Tan, panel hakim tiga anggota yang diketuai oleh Hakim Kamardin Hashim, yang bersidang bersama bersama Rhodzariah Bujang dan Mohd Zabidin Mohd Diah, membatalkan rayuan yang dibuat Ng mengenai ikat jamin itu.

DPP Nik Syahril Nik Ab Rahman yang melakukan pendakwaan tidak membantah penarikan balik rayuan itu.

Ng menghadapi tiga tuduhan bersubahat untuk melanggar Akta Rasuah Asing Amerika, dengan memintasi kawalan perakaunan dalaman sebuah institusi kewangan beribu pejabat utama di New York yang menaja jamin bon terbitan 1MDB lebih daripada AS$ 6 bilion dalam tiga tawaran bon berasingan pada tahun 2012 dan 2013 semasa dia bekerja di institusi kewangan itu sebagai pengarah urusan.

Pada 14 Februari lalu, di hadapan Hakim Sesi MM Edwin Paramjothy, Ng bersetuju untuk diekstradisi dan bersetuju dengan syarat-syarat termasuk pengecualian untuk mencabar ekstradisi ke Amerika Syarikat bagi menghadapi pertuduhan berkaitan dengan 1MDB.

Ng boleh menghadapi deportasi dalam tempoh 30 hari atau tiga bulan di bawah undang-undang Malaysia. Ng sedang ditahan di penjara Sungai Buloh sementara menunggu diekstradisi ke AS.

[Baca berita penuh]