Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Gamuda: Rundingan pengambilalihan lebuh raya berdasar nilai pasaran

Gamuda Bhd akan memastikan tawaran kerajaan untuk mengambil alih konsesi lebuh raya itu akan berdasarkan norma dan amalan penilaian pasaran.

"Memandangkan lembaga pengarah Gamuda mempunyai kewajipan fidusiari untuk memastikan pemegang sahamnya mendapat penilaian yang adil dan munasabah, Gamuda perlu memastikan transaksi yang dicadangkan itu akan berdasarkan norma dan amalan penilaian pasaran," kata firma pembinaan lebuh raya itu dalam satu pengumuman kepada Bursa Malaysia semalam.

Pengumuman itu, yang disahkan oleh syarikat berkenaan, adalah sebagai tindak balas kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Sabtu lalu, PMO mengumumkan bahawa kerajaan telah memulakan untuk mengambil alih empat lebuh raya dari Gamuda Bhd.

Lebuh raya itu adalah Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Lalu Lintas Barat KL (Sprint Expressway), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong Pintar (Smart).

Menurut PMO, jika pengambilalihan itu berjaya, kerajaan merancang untuk menghapuskan tol dan mengenakan caj kesesakan di mana kadarnya adalah sehingga 30 peratus lebih rendah daripada kadar tol semasa.

Selain itu, tidak akan ada bayaran akan dikenakan semasa waktu puncak kesesakan iaitu antara jam 11 malam dan 5 pagi.

Susulan kenyataan PMO, saham Gamuda ditutup pada RM2.86 semalam daripada RM3.04, iaitu kejatuhan 5.92 peratus.

Bagaimanapun, saham itu pulih sedikit hari ini dan, sehingga 12.50 tengah hari tadi, ia naik 2.8 peratus kepada RM2.94 sesaham.