Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Permohonan Shafee untuk singkir Sri Ram akan didengar selepas kes Najib

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 21 Mac sebagai tarikh mendengar permohonan penguam Shafee Abdullah untuk menyingkirkan bekas hakim Gopal Sri Ram daripada menjadi pendakwa utama dalam kes jenayahnya.

Tarikh itu diitetapkan selepas peguam Shafee, Muhammad Farhan Shafee memohon tarikh perbicaraan selepas pelupusan permohonan serupa daripada bekas perdana menteri Najib Razak.

Farhan, yang juga anak Shafee, memaklumkan kepada hakim Collin Lawrence Sequerah bahawa kedua-dua permohonan Shafee dan Najib adalah sama dan keputusan mengenai Najib boleh digunakan ke atas permohonan Shafee.

"Kami minta penangguhan perkara itu sehingga kes Najib dibicarakan kerana isu-isunya adalah sama, walaupun berbeza dari segi fakta.

"Oleh itu kami mencadangkan agar kes Najib dibicarakan (terdahulu), supaya hakim hanya perlu menangani satu kes dan menggunakan perkara sama dalam kes (Shafee) ini,” kata Farhan kepada wartawan.

Perbicaraan permohonan Najib, yang bermula Rabu lalu, dijangka berterusan hingga Khamis ini, di hadapan hakim yang sama.

Shafee berdepan dua tuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta daripada Najib, selain dua pertuduhan membuat penyata yang tidak betul di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

Shafee mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan tersebut.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan permohonan peguam Shafee untuk mencabar pelantikan Gpal Sri Ram bagi mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes yang dihadapinya akan didengar selepas permohonan sama oleh bekas Perdana Menteri Najib Razak diputuskan.

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee, yang mewakili Muhammad Shafee semasa sebutan semula kes itu untuk menetapkan tarikh pendengaran permohonan tersebut hari ini.

“Kami memohon mahkamah menetapkan satu tarikh untuk pendengaran permohonan ini setelah keputusan bagi permohonan Najib selesai. Ini berikutan permohonan itu melibatkan isu perundangan yang sama dan di hadapan hakim serupa, “ kata Muhammad Farhan.

Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar tidak membantah terhadap permohonan peguam itu dan Hakim Collin menetapkan 21 Mac bagi pendengaran permohonan Muhammad Shafee tersebut.

Mahkamah turut memberi tempoh dua minggu sehingga 12 Mac untuk pihak pendakwaan dan pembelaan menyerahkan dokumen masing-masing sebelum memfailkan hujahan pada 14 Mac.

Muhammad Shafee memfailkan permohonan untuk melucutkan kelayakan Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes yang dihadapinya manakala hujahan permohonan Najib untuk mencabar pelantikan Sri Ram yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya bersambung 28 Feb ini di hadapan Hakim Collin.

Pada 13 Sept 2018, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan melibatkan diri dengan pengubahan wang haram iaitu dengan menerima hasil daripada aktiviti haram, masing-masing berjumlah RM4.3 juta dan RM5.2 juta melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad milik Mohd Najib Abd Razak yang dimasukkan ke dalam dua akaun CIMB Bank Berhad milik tertuduh.

Muhammad Shafee dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, J2 & K1, Taman Tunku, Bukit Tunku dekat sini pada 13 Sept 2013 dan 17 Feb 2014.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dia juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melibatkan diri secara langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada akitiviti haram iaitu dengan membuat suatu penyata tidak betul kepada LHDN yang bertentangan dengan Perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi Tahun Kewangan berakhir pada 31 Dis 2013 dan 31 Dis 2014.

Bagi pertuduhan itu, Muhammad Shafee didakwa meninggalkan pendapatan yang telah diterima pada 13 Sept, 2013 berjumlah RM4.3 juta dan pendapatan yang diterima pada 17 Feb 2014 berjumlah RM5.2 juta melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad milik Mohd Najib Hj Abd Razak yang dimasukkan ke dalam dua akaun CIMB Bank Berhad milik tertuduh, yang mana tertuduh dikehendaki oleh Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk membuat penyata bagi pihak tertuduh.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Lembaga Hasil Dalam Negeri, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUAA) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.