Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Patung di surau: Polis diminta bertindak segera

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof meminta pihak berkuasa segera mengambil tindakan ke atas perbuatan provokasi yang bertujuan mahu mengganggu keharmonian negara.

Kata Mujahid perbuatan seumpama itu jika dibiarkan berterusan boleh menyebabkan ketegangan di antara agama.

"Sekali lagi saya ingin tegaskan, pihak polis kena mengambil langkah segera, kerana jika dibiarkan perkara ini berterusan ia akan menimbulkan pelbagai provokasi.

"Kita tak mahu melihat negara kita dicemari dengan perbuatan sebegitu," katanya di Subang Jaya hari ini.

Mujahid yang juga anggota parlimen Parit Buntar ditemui selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran Persatuan Cina Muslim Malaysia.

Terdahulu Mujahid ditanya mengenai penemuan berhala Hindu di sebuah surau di Taman Pendamar Indah, Klang kelmarin.

Ia adalah insiden kedua dalam tempoh tidak sampai seminggu.

Patung berkenaan diletakkan di atas tembok pintu masuk surau berkenaan dan ditemui kira-kira jam 2.15 petang oleh seorang wanita yang dalam perjalanan ke kelas agama.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Shamsul Amar Ramli, mengesahkan kejadian itu.

Menurut Mujahid kerajaan berharap pihak yang bertanggungjawab cuba mencetuskan provokasi itu dapat ditangkap segera.

"Ia akan menunjukkan kesungguhan kita menjaga kesucian rumah-rumah ibadat, khususnya masjid dan surau," katanya.

[Baca berita penuh]