Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Ekonomi berkembangan meski deflasi - Menteri kewangan

Penurunan Indeks Harga Pengguna (CPI) membuktikan dasar kerajaan Pakatan Harapan memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan menggantikannya dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), serta menstabilkan harga minyak melalui pengenaan harga siling berjaya mengembangkan ekonomi negara untuk manfaat peniaga dan rakyat.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata pertumbuhan ekonomi yang sihat dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk 2018 meningkat 4.7 peratus, secara serta-merta memadamkan sebarang kebimbangan deflasi ekoran penurunan CPI sebanyak 0.7 peratus untuk Januari 2019, iaitu kadar yang terendah dalam tempoh hampir 10 tahun.

Katanya penurunan harga tersebut disebabkan oleh harga input yang lebih murah.

"Sebagai contoh, harga purata minyak petrol RON95 pada Januari 2019 adalah kira-kira 13 peratus lebih rendah berbanding Januari 2018. Ini mempunyai kesan positif ke atas harga barangan dan perkhidmatan yang tidak lagi dikenakan GST," katanya dalam kenyataan hari ini.

Lim berkata dasar penstabilan harga minyak menyalurkan penjimatan yang diperolehi daripada harga yang lebih rendah terus kepada pengguna dan pada masa yang sama, mekanisme harga siling melindungi mereka daripada harga minyak dunia apabila ia melambung tinggi.

Beliau berkata penurunan harga tersebut akan meningkatkan kuasa membeli rakyat dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

"Keadaan inflasi yang rendah telah menggalakkan perbelanjaan swasta tumbuh pesat pada kadar 9.0 peratus dan 8.5 peratus tahun ke tahun, masing-masing pada suku ketiga dan keempat pada 2018," katanya.

Malah katanya ekonomi negara sedang bertumbuh dengan sihat dan kerajaan mengunjurkan KDNK 2019 akan terus berkembang sebanyak 4.9 peratus setelah ia tumbuh 4.7 peratus pada tahun lepas.

Bekalan lebih murah

Lim berkata penurunan CPI pada Januari 2019 bukan disebabkan oleh kelemahan permintaan ataupun pertumbuhan ekonomi sebaliknya disebabkan faktor bekalan dalam bentuk harga input yang lebih murah, iaitu pengurangan harga minyak petrol dan minyak lain.

"Ini menjadikan penurunan harga pada Januari 2019 sangat berbeza daripada deflasi harga yang berlaku semasa 2009. Semasa Krisis Kewangan Sedunia, Malaysia mengalami kemelesetan ekonomi di mana KNDK negara merudum 5.8 peratus untuk suku pertama, jatuh 3.7 peratus pada suku kedua dan kemudiannya turun 1.1 peratus pada suku ketiga pada 2009,"katanya.

Katanya perlu diingatkan bahawa deflasi harga dari sudut tahun ke tahun hanya berlaku setelah kemelesetan berlangsung.

"Selain itu, pengeluaran industri telah merosot dengan mendadak sebelum kemelesetan ekonomi dan deflasi harga bermula. Ini bermakna deflasi harga bagi 2009 adalah diakibatkan kemelesetan ekonomi apabila sektor isi rumah dan perniagaan mengurangkan pembelian mereka,"katanya.

Lim berkata walaupun CPI menurun 0.7 peratus, kerajaan sedar banyak lagi perlu dilakukan untuk menyelesaikan masalah kos sara hidup rakyat Malaysia, terutamanya bagi golongan B40 (40 peratus kumpulan isi rumah berpendapatan rendah).

"Kerajaan sedang berusaha memastikan supaya penurunan CPI ini dapat dinikmati seluruh masyarakat,"katanya.

- Bernama