Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

DOJ fail tuntutan rampas AS$38 juta aset berkaitan 1MDB

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) dilaporkan memfailkan tuntutan baru bagi merampas aset berkaitan 1MDB bernilai AS$38 juta.

Saman itu menjadikan aset berkaitan 1MDB yang ingin dirampas jabatan itu kini mencecah AS$1.7 bilion, menurut laporan Reuters hari ini.

Menurut laporan itu, tuntutan itu difailkan di California, Amerika Syarikat, dan melibatkan hartanah mewah di London dan New York, serta ekuiti sebuah syarikat pengurusan kemudahan Kentucky yang terikat dengan tawaran bon oleh 1MDB pada 2012 dan 2013.

"Saman terbaru ini menyasarkan aset yang dikumpul oleh pegawai korup dan sekutu mereka melalui bilion dolar yang dicuri daripada rakyat Malaysia dan dicuci di seluruh dunia," kata peguam AS Nick Hanna seperti dipetik.

DOJ dilaporkan menganggarkan sejumlah AS$4.5 bilion telah diselewengkan oleh pegawai tinggi 1MDB dan sekutu mereka antara 2009 hingga 2014, dan antara dana yang terlibat adalah yang diraih melalui pengeluaran bon bernilai AS$6.5 bilion menerusi Goldman Sachs sebagai penaja jamin dan pengatur jualan.

Pada Januari lalu, CEO Goldman Sachs David Solomon memohon maaf kepada rakyat Malaysia berhubung peranan bekas pegawai bank itu Tim Leissner dalam skandal 1MDB, bagaimanapun menegaskan pihaknya telah melakukan urusan sewajarnya (due diligence) sebelum setiap transaksi.