Kes 'Dr Ganja': Mahkamah gugur tiga dakwaan
Pesara tentera Amiruddin @ Nadarajan Abdullah, 60 tahun atau lebih dikenali sebagai 'Dr Ganja' dilepaskan tetapi tidak dibebaskan (DNAA) daripada tiga pertuduhan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Hakim Mahkamah Tinggi Klang Meor Hashimi Abdul Hamid menggugurkan kes itu hari ini kerana faktor teknikal melibatkan kes yang bertindih.
Perkara ini dimaklumkan oleh peguam Nur Hannan Ishak yang mewakili Amiruddin.
"Semua tu 39B - ada tiga pertuduhan, tiga nombor kes. Digugurkan sebab bertindih dengan ada kes lain exhibit sama - dua nombor kes dengan exhibit yang sama.
"Jadi tak boleh double charges (dakwa dua kali) sebab technicalities (faktor teknikal)," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Pada mulanya Amiruddin didakwa dengan 36 pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis yang membawa hukuman gantung sampai mati. Keputusan mahkamah tinggi hari ini menjadikan pertuduhan yang dihadapinya kini sebanyak 33 kes.
Pendakwaan diketuai DPP Anis Wahidah Mohamad, manakala mahkamah akan mendengar perbicaraan kes ini pada 8, 10 ke 12 April ini.
Mengulas lanjut mengenai perkembangan perbicaraan itu, Nur Hannan yang mewakili Amiruddin bersama peguam Samantha Chong berkata, setakat ini, pihaknya masih lagi menunggu keputusan representasi.
Hemp tak beri kesan khayal
Katanya, kes Amiruddin akan dibawa kepada Ketua Unit Jenayah Berat Jabatan Peguam Negara di Putrajaya bagi membincangkan jika penggunaan hemp dapat ditakrifkan sebagai bukan penyalahgunaan dadah kerana ia tidak memberi kesan khayal dan ketagihan.
Ini kerana menurut Nur Hannan (gambar), anak guamnya menggunakan spesies hemp dan bukan spesies ganja yang memberi kesan khayal.
"Kalau mereka terima hemp itu bukanlah termasuk dalam Akta Dadah Berbahaya. Sebab dia (Amiruddin) pun bukan buat (bahan) 'high' (khayal) sebab pada hakikatnya dia beli daripada kedai. Jadi Insyaallah kes itu akan digugurkan," katanya.
Secara umumnya terdapat tiga spesies tumbuhan ganja atau yang semuanya dirujuk undang-undang negara hanya sebagai kanabis iaitu kanabis perubatan (medical marijuana), kanabis khayal (marijuana) dan kanabis industri (hemp).
Hemp dan marijuana kedua-duanya pokok kanabis tetapi hemp memiliki kurang daripada 0.3 peratus THC, kandungan kimia yang memberi kesan khayal. Marijuana memiliki antara 5 ke 35 peratus THC.
Majalah Forbes pada 2013 pernah melaporkan spesies kanabis hemp juga mempunyai manfaat perubatan pada kandungan minyak daripada bijinya.
Selain itu, lapor Forbes lagi biji hemp juga digunakan dalam pengeluaran bahan bakar biologi. Hemp juga sememangnya terkenal kerana menjadi bahan asas serat (fiber) bagi industri melibatkan pembuatan kira-kira 25,000 produk seperti kertas, kain, tali-temali.
Menurut Forbes, Ford Motors, Patagonia dan The Body Shop antara syarikat besar yang menggunakan hemp dalam produknya.
Untuk rekod, Proton ketika menguasai syarikat pengeluar kereta mewah Lotus pernah menghasilkan model Lotus Elise, yang mana bahagian dalamannya dibuat daripada hemp.
Antara negara yang menanam hemp untuk tujuan industri ialah Mesir, Kanada, China, Australia, India, Thailand, Korea Selatan dan Jepun.
Pada hujung Disember 2018, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menandatangani RUU Ladang yang membenarkan penanaman dan pengedaran produk hemp di seluruh 50 negerinya.
China pula merupakan pengeluar 50 peratus produk hemp di dunia.
Kesihatan tambah buruk
Sementara itu, Hannan berkata Amiruddin menyebut niatnya hanyalah untuk membantu orang ramai sembuh sepertinya dahulu dan bukan untuk mengedar dadah.
Nur Hannan berkata, kesihatan Amiruddin bertambah buruk kerana buat masa ini anak guamnya itu hanya bergantung kepada ubat doktor sebagai tahan sakit.
"Dia sebelum ini memang terlantar. Lepas dia cuba perubatan ganja, dia jadi sihat. Maksudnya dia rawat diri dia sendiri (melalui) ganja dengan hemp.
"Bila doktor bagi ubat yang dia tak biasa, badan dia dah biasa ambil hemp, marijuana. Jadi dah tak sesuai. Keadaan dia makin teruk. Ubat yang doktor bagi itu setakat tahan sakit saja," katanya.
Amiruddin sebelum ini mempunyai masalah komplikasi buah pinggang, jantung, kencing manis dan tumor di tulang belakangnya.
Menurut Hannan, Amiruddin menggunakan ganja dan hemp sebagai rawatan alternatif untuk menyembuhkan penyakitnya serta perkara itu telah diberitahu oleh pihak hospital yang merawatnya sebelum ini di Pusat Perubatan Universiti Malaya.
Nur Hannan berkata lagi, memandangkan kesihatan anak guamnya semakin terganggu, sebagai peguam, dia ada membuat permohonan supaya Amiruddin dirujuk kepada PPUM.
Ini kerana, hospital di PPUM mempunyai rekod kesihatannya terdahulu berbanding dengan hospital sedia ada yang merawat Amiruddin di Sungai Buloh.
"Penjara bawa dia pergi hospital. Tapi Hospital Sungai Buloh itu tak ada rawatan lazim yang dia dapat. Sebelum ni dia pergi PPUM.
"Penjara kata mereka tak boleh bawa pergi PPUM sebab jauh sangat. Jadi apa yang peguam buat, kami dah minta PPUM buat temujanji.
"Kalau PPUM tengok dia dah teruk baru PPUM akan cadangkan dia untuk dimasukkan ke hospital. Tapi kalau nak minta daripada penjara mereka memang setakat ni mereka tak benarkan," katanya yang berkata surat permohonan telah dilakukan beberapa kali sebelum ini.
BACA BERKAITAN:
Ganja perubatan: Undang-undang boleh dipinda, kata pensyarah
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai