Waktu operasi baru UTC Sabah, S'wak bermula 4 Mac
Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Sabah dan Sarawak akan beroperasi pada waktu baru bermula 4 Mac ini setelah mengambil kira faktor permintaan dan langkah penjimatan kerajaan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Lim dalam kenyataan hari ini berkata, UTC di kedua-dua negeri itu akan beroperasi dari pukul 10 pagi hingga 7 malam pada hari Isnin hingga Jumaat dan dari 8 pagi hingga 5 petang pada Sabtu dan Ahad.
Bagi tiga UTC di Sabah iaitu Kota Kinabalu, Tawau dan Keningau, waktu rehat solat Jumaat ialah dari pukul 11.30 pagi hingga 2 petang, manakala tiga UTC di Sarawak (Kuching, Miri dan Sibu) dari pukul 11.45 pagi hingga 2.15 petang.
Lim berkata hasil mengoptimumkan waktu operasi UTC itu dijangka dapat memberikan penjimatan sebanyak RM2.1 juta.
"Walaupun pertukaran waktu operasi ini dibuat sebagai langkah penjimatan perbelanjaan kerajaan, UTC tetap beroperasi selama tujuh hari seminggu kecuali cuti umum bagi memudahkan orang awam mendapatkan perkhidmatan kerajaan," katanya.
Lim berkata waktu-waktu operasi UTC di negeri-negeri lain kekal seperti yang diumumkan sebelum ini.
"Waktu operasi UTC akan dikaji dari semasa ke semasa bagi memastikan permintaan rakyat dipenuhi dan pada masa yang sama perbelanjaan kerajaan dibuat secara efisien tanpa pembaziran waktu dan tenaga serta wang rakyat," kata Lim.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai