Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

47 tahanan M'sia di Kemboja dijangka pulang esok - TPM

Kesemua 47 tahanan Malaysia di Kemboja yang telah dibebaskan semalam dijangka pulang ke tanah air seawal pagi esok, kata Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dr Wan Azizah berkata beliau telah menghubungi Anggota Parlimen Julau Larry Sng Wei Shien untuk mengetahui perkembangan terkini dan difahamkan mereka akan dibawa pulang pada kadar segera.

"Insya-Allah, kalau tiada aral melintang, mereka dijangka sampai esok pada 10.30 pagi. Pelbagai susunan dan perbincangan telah diadakan dan atas usaha ini, terima kasih kepada semua," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) di ibu negara, hari ini.

Wisma Putra dalam satu kenyataan semalam mengesahkan kesemua 47 rakyat Malaysia yang ditahan di penjara wilayah Banteay Meanchey telah dibebaskan pada 6.30 petang waktu Kemboja (7.30 malam waktu Malaysia).

Pada 7 Februari, Kementerian Luar mengesahkan laporan penahanan 47 rakyat Malaysia di Poi Pet, Kemboja sejak 11 Disember lalu atas pertuduhan menipu, membuka dan menjalankan aktiviti perjudian dalam talian secara haram.

Mereka dikatakan ditahan di negara berkenaan selepas terpesona dengan janji gaji lumayan yang dipercayai didalangi sindiket pemerdagangan manusia dari China.

Sambut baik RCI siasat salah laku hakim

Sementara itu, Dr Wan Azizah menyambut baik hasrat kerajaan yang akan mengkaji cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap dakwaan terbaru mengenai salah laku hakim-hakim kanan.

"Itu (penubuhan RCI) dalam pertimbangan Tun (Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad). Bukan orang sembarangan, ini bekas hakim (jawatan terdahulu) yang mengeluarkan satu afidavit, jadi ia penting untuk kita melihatnya dan penubuhan RCI adalah satu daripada langkah baik dan wajar," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Dr Mahathir semalam mengenai kajian kerajaan terhadap cadangan penubuhan RCI.

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer, dalam afidavitnya setebal 63 muka surat pada Khamis sebagai sokongan kepada permohonan oleh peguam Sangeet Kaur Deo, mendedahkan, antara lain, butiran yang mengejutkan mengenai beberapa kejadian campur tangan hakim dalam badan kehakiman di Malaysia, termasuk campur tangan dalam keputusan rayuan kes hasutan Karpal Singh di Mahkamah Rayuan.

Terdahulu, ketika berucap dalam majlis itu, Dr Wan Azizah berkata kerajaan akan terus menggalakkan usahawan muda, industri memuncul dan industri halal di Malaysia untuk memasuki pasaran China.

“Jumlah dagangan dua hala antara Malaysia dan China mencecah rekod tertinggi tahun lepas. Saya akan terus memberi kepercayaan kepada MCCC untuk mempromosi dan memperkukuhkan kerjasama perniagaan antara kedua-dua negara,” katanya.

- Bernama