Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

DAP bantu kempen PH hanya di kawasan tertentu

PRK SEMENYIH | DAP akan menyertai kempen PH di kawasan Melayu jika diperlukan atau mendapat permintaan, kata setiausaha agungnya Lim Guan Eng.

Kata Lim sebagai rakan sekutu dalam PH parti itu akan memberikan bantuan dan sumbangan untuk memenangkan wakil mereka, Muhammad Aiman Zainali, 30, yang dicabar tiga calon lain, iaitu Zakaria Hanafi dari BN, Nik Aziz Afiq Abdul (PSM) dan Kuan Chee Heng (bebas).

"Kami akan bantulah seberapa yang boleh, dan saya rasa sekiranya diperlukan kita akan masuk ke mana-mana kawasan yang diminta," katanya.

Lim yang juga anggota parlimen Bagan berkata kerjasama itu dibuat di bawah payung PH.

Beliau ditemui di pekarangan Dewan Seri Cempaka di Kajang yang menjadi pusat penamaan calon bagi PRK yang akan berlangsung pada 2 Mei ini.

Untuk rekod kira-kira 68 peratus daripada 53,200 pengundi di Semenyih terdiri daripada masyarakat Melayu berbanding 17 peratus Cina dan 14 peratus India.

 

PRK kali ini berlangsung selepas PH dikalahkan BN dalam pemilihan kerusi parlimen Cameron Highlands pada 26 Jan lalu, dan sebahagian besar orang Melayu dilaporkan tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan.

Menurut Lim DAP sepatutnya tidak bermasalah untuk berkempen bagi membantu PH namun parti itu diberi imej yang buruk oleh pihak tertentu bagi mengapi-apikan sentimen perkauman.

Katanya pihak terbabit memainkan isu perkauman ketika kerajaan PH menekankan pentingnya perpaduan kaum dalam kalangan rakyat di negara ini.

Justeru kata Lim gerak kerja DAP akan bergantung kepada keperluan dan keadaan semasa di Semenyih.

"Kami bercadang untuk berkempen di kawasan yang ada pengaruh dan mendapat sokongan kuat," katanya.

[Baca berita penuh]