Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Gerak kerja, kempen Umno dan PAS disatukan

PRK SEMENYIH | Kerjasama di antara Umno dan PAS akan terus diperkemaskan lagi di Semenyih.

Pemangku Presiden Umno Mohamad Hasan berkata pada PRK kali ini pembahagian tugas dalam kalangan jentera parti akan dibuat mengikut kawasan yang sama.

Menjelaskan perkara itu, bekas menteri besar Negeri Sembilan itu memberitahu jika sesuatu pusat daerah mengundi (PDM) diuruskan Umno bahagian Tanjung Karang, maka PAS kawasan sama akan ditempatkan di situ.

"Ini bertujuan untuk menggerakkan kempen secara bersama, mengeratkan silaturrahim dan persahabatan di antara dua parti agar selepas ini (kerjasama ini) tidak berakhir setakat PRK," katanya kepada media yang luar pusat penamaan calon di Kajang hari ini.

Umno dan PAS kini berada di fasa terbuka mengadakan kerjasama selepas membuat percubaan mengenainya pada dua PRK terawal selepas PRU ke-14 lalu.

Daripada lima PRK yang berlangsung setakat ini kerjasama itu baru sekali menunjukkan kejayaan iaitu di PRK Cameron Highlands.

Untuk rekod kerusi parlimen di kawasan percutian tanah tinggi itu memang menjadi kubu kuat BN selama ini.

Untuk agenda 'abata'

Langkah itu dipelopori oleh Presiden Umno Dr Mohamad Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini namun dilihat tidak mendapat penerimaan meluas dalam kalangan sesetengah pemimpin parti terbabit.

Ia kemudian menyaksikan beberapa anggota parlimen Umno meninggalkan parti berkenaan dan akhirnya memaksa Ahmad Zahid bercuti.

Ketika sesetengah pihak menjangkakan Mohamad tidak mengambil pendekatan seperti Ahmad Zahid, perkembangan semasa menyaksikan apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Mohamad berkata kerjasama Umno dan PAS perlu terus diperkukuhkan demi memperkasakan agenda agama, bangsa dan tanah air.

Ditanya Umno menyasarkan kawasan tertentu untuk digempur bagi memenangi PRK Semenyih, Mohamad berkata apa yang dirancang hanya untuk mengajak pengundi memberi peluang kepada BN mewakili mereka di DUN Selangor.

 

"Kalau BN menang pun, tidak akan mengubah apa-apa, kecuali pengundi Semenyih mempunyai wakil untuk menjadi suara rakyat agar kerajaan PH (di Selangor) tidak terlalu kuat.

"Apabila kerajaan terlalu kuat macam di Selangor ni, tiada suara kita (pembangkang) maka suara rakyat kadang-kadang diketepikan.

"Agenda politik dilebihkan daripada agenda membela rakyat," katanya.

Perarakan calon BN hari ini turut dihadiri pemimpin kanan PAS, termasuk naib presidennya, Iskandar A Samad dan Idris Ahmad, Bendahari Razman Zakaria serta Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi.