Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 9 hari diterbitkan

SURAT | SG4 bawa risiko pertindihan kuasa dengan agensi k'jaan negeri

SURAT | Pertubuhan Pemikir Azam Kelantan (Azam Kelantan) maklum dengan perkembangan Sidang Kemuncak Empat Kerajaan Negeri atau SG4 yang berlangsung di Hotel Tenera, Bangi, Selangor pada 2 September 2024 lalu.

Pembinaan jaringan kerjasama antara empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis sebagai platform kerjasama dalam pelbagai kluster adalah perkembangan yang menarik. 

Pun begitu, langkah penubuhan syarikat SG4 membawa risiko pertindihan dengan agensi sedia ada di setiap negeri yang terlibat.

Lima kluster yang disepakati dalam Resolusi Persidangan SG4 iaitu infrastruktur dan logistik; perdagangan, pelaburan dan industri; pertanian dan sekuriti makanan; pendidikan dan modal insan serta sumber dan pendapatan baru, pada hakikatnya boleh diurus oleh syarikat yang telah ditubuhkan oleh kerajaan negeri masing-masing secara usaha sama jika melibatkan kerjasama silang negeri.

Penubuhan syarikat baru membawa risiko pertindihan bidang kuasa  serta kos operasi atas sesuatu projek yang berlipat ganda yang tidak perlu.

Sebaliknya, bagi Azam Kelantan, kerjasama empat negeri sebenarnya boleh dilakukan dengan melibatkan memorandum persefahaman (MOU) untuk memperkasa agensi sedia ada di kesemua negeri. 

Penubuhan syarikat SG4 untuk menguruskan lima kluster tersebut juga memberi gambaran jelas kerajaan negeri seperti tidak meletakkan kepercayaan kepada agensi sedia ada untuk memakmurkan negeri, mahupun untuk membuat kerjasama silang negeri.

Dengan beberapa negeri seperti Kelantan yang merekodkan belanjawan defisit - iaitu perbelanjaan melebihi pendapatan - penubuhan syarikat baru ujuga akan menyebabkan kos operasi meningkat. Kami tidak mahu usaha SG4 ini menjadi umpama “tiada beban, batu digalas”.

Semoga kerajaan negeri khususnya Kelantan atau pimpinan yang terlibat dengan resolusi SG4 ini dapat memberikan penjelasan berkenaan perkara yang kami bangkitkan ini.


ADIB FAISAL YAACOB adalah koordinator Azam Kelantan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.