Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 14 hari diterbitkan

SURAT | Menjawab Wan Fahysal: Anwar atau PN yang tergugat?

SURAT | Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal  Wan Ahmad Kama seharusnya mempersoalkan kepimpinan PN yang dilihat takut dan “pelik” untuk mengisytiharkan harta yang menjadi salah satu syarat Memorandum Persefahaman (MOU) yang disediakan oleh kerajaan.

Sebaliknya mereka tidak mempersoalkan kedudukan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri yang telah dibuktikan mendapat sokongan majoriti yang kukuh melalui usul undi percaya yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 19 Disember 2022.

Tindakan pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang kelihatan takut untuk mengisytiharkan harta seolah-olah mereka sedang menyembunyikan sesuatu.

Beberapa pemimpin PN yang didakwa di mahkamah disebabkan kes rasuah juga menyebabkan rakyat mula hilang kepercayaan kepada PN.

Wan Ahmad Fayhsal perlu ingat bahawa semasa PN menjadi kerajaan, pembangkang tidak pernah mendapat peruntukan sehinggalah pembangkang menandatangani MOU Transformasi dan Kestabilan Politik semasa Ismail Sabri Yaakob menjadi perdana menteri pada 13 September 2021. 

Dakwaan mengatakan bahawa Anwar tidak membantu rakyat hanya kerana perbezaan politik merupakan dakwaan yang tidak berasas.

Sedangkan, Menteri Besar Kelantan, Mohd Nasaruddin Daud mengucapkan terima kasih kepada Anwar kerana membantu negeri yang ditadbir oleh parti PAS itu mendapatkan  pelbagai geran tahunan.

Ini termasuk geran per kapita, geran jalan, dan geran Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris). 

Kerajaan Madani juga memperuntukkan RM11.5 juta untuk negeri Kelantan bagi menaik taraf sistem saliran untuk mengelak berlakunya banjir. 

Jadi ini membuktikan bahawa Anwar sentiasa memberikan sokongan dan membantu mana-mana negeri walaupun ditadbir oleh parti pembangkang untuk kepentingan negara.

Wan Ahmad Fayhsal sebagai anggota parlimen Machang perlu bersikap jujur dalam mengeluarkan kenyataan dan berhenti memutarbelitkan fakta. 

Berhentilah mencari publisiti murahan untuk kepentingan diri sendiri.


MUHAMMAD AZHA SALAHUDIN ialah ketua penerangan AMK Wilayah Persekutuan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.