Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 16 hari diterbitkan

SURAT | Apabila keyakinan diri bermula dari hidung

SURAT | Dalam dunia yang dipenuhi dengan imej kesempurnaan, siapa sangka bahawa hidung, sepotong kecil dari wajah manusia, mampu menjadi penentu keyakinan diri seseorang.

Apa yang membuatkan sebahagian orang rela membiarkan wajah mereka diukir semula di bawah pisau bedah hanya untuk memperbaiki bentuk hidung?

Menariknya, statistik menunjukkan bahawa pembedahan plastik untuk hidung atau - rinoplasti - adalah salah satu prosedur paling popular di dunia. 

Di Korea Selatan misalnya, negara yang dikenali sebagai syurga bedah plastik global, berjuta-juta orang menjalani rinoplasti setiap tahun. Fenomena ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila kita melihat bagaimana masyarakat mengaitkan kecantikan dengan keyakinan diri, bahkan kejayaan.

Hidung yang tirus, mancung, dan sempurna sering kali digambarkan sebagai lambang kecantikan. Tidak hairanlah, ramai yang tertekan apabila hidung mereka tidak memenuhi piawaian kecantikan ini.

Peranan media sosial dalam menyebarkan imej-imej sempurna ini juga tidak boleh dipandang enteng. Dalam dunia di mana swafoto dan jumlah like menjadi ukuran penerimaan sosial, ramai terjebak dalam perlumbaan untuk memiliki hidung yang sempurna ini. 

Namun, di sinilah letaknya paradoks kehidupan moden: meskipun teknologi membolehkan fizikal diubah, apakah seseorang benar-benar memperbaiki dirinya?

Keyakinan diri dibina atas dasar penampilan fizikal adalah sesuatu yang rapuh. Hidung cantik mungkin akan menarik pujian seketika, namun cukupkah ia untuk menampung beban harga diri yang sebenar? 

Hidup di dunia yang memuja estetika, namun ironinya, dalam pencarian kecantikan manusia sering kali mengabaikan elemen-elemen lain yang membentuk keyakinan diri – intelek, sifat peribadi dan nilai diri.

Entah bermula dari mana, keyakinan diri sering kali disalahertikan sebagai sesuatu yang perlu dimiliki atau dibina. 

Ini menyebabkan ramai yang berasa bahawa keyakinan diri adalah sesuatu yang perlu diperoleh dari luar – sama ada melalui penampilan, status sosial, atau pengiktirafan orang lain. Dalam konteks ini, hidung menjadi simbol keyakinan diri yang dicari-cari.

Dalam erti kata sebenar, keyakinan diri bermula dari dalam. Ia adalah tentang sejauh mana seseorang dapat menerima diri dengan segala kekurangan dan kelebihan. 

Namun, dalam dunia yang terus-menerus menekan untuk mencapai standard yang tidak realistik, menerima diri sendiri seadanya mungkin merupakan cabaran terbesar.

Di sinilah peri pentingnya untuk memupuk budaya mencintai diri sendiri – sebuah nilai yang semakin hari semakin terpinggir dalam masyarakat. 

Mencintai diri sendiri bukanlah bermaksud tidak boleh (atau tidak perlu) memperbaiki diri, tetapi ia bermaksud harus menghargai diri dalam bentuk asal sebelum membuat sebarang perubahan.

Pembedahan plastik, walaupun ia mungkin memberikan hasil yang diingini dari segi penampilan, tidak boleh menjadi penyelesaian kepada isu yang lebih mendalam. 

Malah, banyak kajian menunjukkan individu yang menjalani pembedahan plastik sering kali (masih) mengalami masalah yang sama selepas pembedahan, kerana isu sebenar bukanlah pada penampilan fizikal, tetapi pada cara mereka melihat diri.

Jadi, bagaimana untuk mencipta keyakinan diri sejati itu? 

Pertama, belajar untuk menerima dan mencintai diri sendiri. Ini bermakna seseorang harus berhenti membandingkan diri dengan orang lain dan belajar untuk melihat kecantikan dalam ketidaksempurnaan. Setiap hidung, sama ada tirus atau tidak, adalah unik dan membawa cerita tersendiri.

Kedua, memberi tumpuan kepada pengembangan diri dalam aspek yang lebih bermakna – intelek, emosi dan spiritual. Keyakinan sejati datang daripada pencapaian yang diperoleh melalui usaha, pengetahuan dan hubungan yang dibina dengan orang lain.

Akhirnya, manusia itu perlu menyedari bahawa kecantikan fizikal hanyalah sebahagian kecil daripada siapa dirinya sebagai manusia. Masyarakat mungkin meletakkan standard tertentu terhadap penampilan tetapi pada akhirnya, yang lebih penting adalah bagaimana pandangan seseorang terhadap dirinya sendiri.

Mengubah hidung mungkin dapat membentuk wajah diingini, tetapi hanya menerima dan mencintai diri yang dapat membentuk hati dan budi. 

Dalam era di mana segala-galanya boleh diubah suai, mencintai bentuk asal diri mungkin adalah revolusi paling radikal yang diperlukan.


NUR AFIRAH adalah pembaca Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.