Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

SURAT | Rasional PAS sertai kerajaan Madani

SURAT | Perbincangan untuk melibatkan PAS menyertai kerajaan Madani bermula sejak awal perlantikan Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri pada 2022.

Anwar pula konsisten menyatakan bahawa tawaran menyertai kerajaan sentiasa terbuka dan ia mesti dilakukan kerana penting untuk kestabilan politik negara.

Namun dia menegaskan, penyertaan PAS perlu diikat dengan syarat bahawa mereka menerima Malaysia sebagai sebuah negara berbilang agama dan setiap rakyatnya mempunyai tempat tanpa mengabaikan bahawa Islam ialah agama persekutuan.

Namun PAS memaklumkan bahawa perkara itu tidak mungkin berlaku.

Selaku nakhoda kerajaan Madani, Anwar kelihatan sangat terbuka terhadap idea membawa masuk PAS dan ia bukan sesuatu yang janggal.

Sejarah menunjukkan PAS pernah mendukung perjuangan Anwar melalui platform Barisan Alternatif dan seterusnya Pakatan Rakyat (PR) sehingga Jun 2015.

PAS hanya meninggalkan PR selepas berlaku konspirasi memenjarakan Anwar pada Feb 2015. Alasan PAS ialah kerana perselisihan parti itu dengan DAP, namun tidak terkait isu konspirasi yang dikenakan terhadap Anwar.

Situasi semasa menunjukkan wujud pertembungan yang tajam di antara penyokong PH dan PAS, namun di peringkat atasan mereka kelihatan mesra.

Ia lebih ketara jika melibatkan perdana menteri dengan empat menteri besar PAS.

Perbincangan lebih lancar

Walaupun wujud pendekatan agresif melampau yang ditonjolkan Muhammad Sanusi Md Nor pada peringkat awal, akhirnya menteri besar tersebut terkulai mengakui kewibawaan Anwar dan memohon maaf seikhlas hati pada Mei 2024.

Penyertaan PAS ke dalam kerajaan mampu memperkukuhkan kedudukan ahli parlimen Melayu-bumiputera dalam kerajaan.

Ketika ini ada seramai 83 ahli parlimen Melayu-bumiputera yang menyokong kerajaan daripada 152 jumlah keseluruhan mereka yang ada dalam Dewan Rakyat.

Sememangnya bilangan ahli parlimen Melayu-bumiputera yang mendukung kerajaan masih majoriti dan naratif kononnya kerajaan ‘ditunggang’ oleh Cina tidak dapat dimainkan.

Namun pertambahan 43 kerusi daripada PAS mampu menutup terus naratif jahat yang bermain-main dengan sentimen perkauman dalam kerajaan sekarang.

Penyertaan PAS juga bakal ‘melicinkan’ isu pentadbiran dan komunikasi di antara Putrajaya dengan empat negeri pimpinan PAS.

Perbezaan kedudukan hanya membentuk jurang dari segi kerjasama antara agensi kerajaan persekutuan dan negeri.

Jika PAS menjadi parti komponen kerajaan Madani maka empat kerajaan negeri yang diterajui PN akan bertukar statusnya.

Kelebihan itu akan diperolehi oleh PH dan BN untuk bergerak bebas menyantuni masyarakat dan penjawat awam di seluruh negara.

Penggabungan itu juga menjadikan perbincangan berkenaan isu peruntukan kepada ahli parlimen PAS yang masih tertangguh boleh diselesaikan dengan mudah.

Asas terpenting ialah, proses tersebut tidak melibatkan sebarang campur tangan terhadap kes-kes mahkamah yang melibatkan mana-mana pihak.


MOHD FAUZI FADZIL ialah pengarah komunikasi Pemuda PKR Selangor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.