Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

SURAT | Keputusan speaker adalah muktamad

SURAT | Keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Lau Weng San, mengisytiharkan kerusi Selat Klang yang disandang Abdul Rashid Asari tidak dikosongkan mendapat kritikan daripada PN.

Ketua Pembangkang DUN Selangor, Mohamed Azmin Ali, beranggapan keputusan tersebut menodai perlembagaan negara.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Abd Halim Tamuri, pula mempersoalkan masa tidak diperuntukkan secara secukupnya bagi perbahasan berkenaan status kerusi DUN Selat Klang.

Perkara itu dijawab secara berhemah Lau yang menegaskan Abdul Rashid hanya menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Abdul Rashid, kata Lau, tidak pernah mengumumkan keluar dari Bersatu. Keadaan tersebut tidak menjadikan Abdul Rashid dianggap lompat parti.

Speaker DUN Selangor juga menganggap Abdul Rashid dipecat secara terancang mengikut tafsiran Perkara 71 (7A) Pindaan 2022 Perlembagaan Persekutuan.

Percubaan Bersatu membawa tafsiran sendiri berkenaan Perlembagaan Persekutuan untuk diguna pakai terhadap Perkara 65A (2)(c) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 bagi mengosongkan kerusi Selat Klang menemui kegagalan apabila Lau membuat keputusan bahawa Abdul Rashid tidak pernah meninggalkan Bersatu.

Justeru kerusi yang disandang Abdul Rashid dianggap kekal menurut keputusan Speaker DUN Selangor.

Abdul Rashid Asari

Perkara kedua yang dibangkitkan oleh PN ialah ruang masa yang tidak mencukupi bagi mereka membahaskan status kerusi DUN Selat Klang.

Perkara tersebut telah dirunding oleh Azmin bersama Lau pada 21 Jun lalu, Penjelasan pihak Bersatu telah didengar oleh speaker dan dia mengambil masa 21 hari untuk mempertimbangkan hujah yang di bawa mereka.

Masa yang secukupnya telah diambil oleh speaker untuk menjalankan siasatan sejajar dengan kuasa diperuntukkan kepada dia melalui Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 yang memberikan beliau quasi-inquisitorial.

Selepas mendapati tiada bukti mencukupi dikemukakan oleh Bersatu maka speaker memutuskan bahawa kerusi tersebut tidak perlu dikosongkan.

Keputusan tersebut adalah muktamad dan tidak boleh dicabar di dalam DUN Selangor menurut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Justeru, tiada gunanya berbahas panjang lebar di dalam selepas speaker membuat keputusan. Malah kelaziman dalam amalan sistem Westminster apabila Speaker tidak boleh mengambil bahagian dalam mana-mana perbahasan dan soal jawab dengan dengan ahli dewan.

Perkara terbaik yang harus dilakukan oleh pemimpin Bersatu dan PN sekarang kini adalah mencabar keputusan yang dibuat speaker menggunakan saluran badan kehakiman.

Usaha untuk mengelirukan rakyat menggunakan platform ceramah tidak mampu mengubah keputusan yang ditetapkan oleh Speaker DUN Selangor.

Perbuatan mengkritik keputusan itu menggunakan platform yang salah tidak lebih daripada cubaan untuk meraih simpati rakyat.

Sebagai pemimpin BERSATU dan PN, mereka sepatutnya mengurangkan bermain politik sebaliknya gunakan saluran rasmi bagi memperjuangkan tuntutan mereka.


MOHD FAUZI FADZIL ialah Pengarah Komunikasi Pemuda PKR Selangor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.