Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

SURAT | Keracunan makanan: Penguatkuasaan undang-undang perlu tegas - CAP

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Kesihatan supaya menguatkuasakan undang-undang berkaitan keselamatan makanan dengan tegas memandangkan kejadian kes keracunan makanan yang berlaku di negara ini baru-baru ini adalah berkaitan dengan ketidakpatuhan peraturan keselamatan makanan.

Kes terbaru ialah 99 pelajar dan guru sekolah menengah di Batu Pahat, Johor mengalami gejala keracunan makanan selepas mengambil makanan dari kantin sekolah.

Terdahulu pada Jun semasa program sekolah di Gombak, Selangor, seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun meninggal dunia selepas mengambil makanan di program sekolah itu.

Di samping kematian ini, 82 individu lain yang menghadiri program yang sama mengalami gejala keracunan makanan, ia menekankan betapa teruk dan meluasnya kesan akibat wabak itu.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Mohideen Abdul Kader.

Kelaziman kes keracunan makanan, terutamanya dalam persekitaran sekolah, menimbulkan ancaman besar kepada kesihatan dan keselamatan awam.

Pada separuh pertama 2024 sahaja, banyak insiden dilaporkan, menekankan betapa mendesaknya keperluan bagi menangani isu ini. Murid sekolah menjadi mangsa utama insiden keracunan makanan ini di seluruh negara. Kanak-kanak dengan sistem imun yang mudah terjejas lebih mudah dijangkiti keracunan makanan.

Satu lagi kes tragis berlaku pada tahun lalu di Terengganu di mana seorang wanita berusia 54 tahun meninggal dunia kerana disyaki keracunan makanan.

Dia dilaporkan mengalami gejala keracunan makanan akibat memakan sandwic yang dibelinya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Perasing di Kemaman, Terengganu.

Gambar hiasan.

Insiden kes keracunan makanan yang tinggi di negara ini sebahagiannya adalah disebabkan oleh keadaan iklim dan ciri biasa masakan.

Iklim yang panas dan lembap serta gabungan pelbagai bahan mentah dalam masakan biasa Malaysia boleh meningkatkan kemungkinan pencemaran dan kerosakan makanan yang sering mengakibatkan peningkatan insiden keracunan makanan.

Faktor lain yang boleh membawa kepada insiden keracunan makanan ialah pencemaran silang dan amalan pencairan dan memasak yang tidak betul disebabkan oleh amalan pengendalian makanan yang lemah atau tidak mencukupi daripada pengendali makanan.

Lokasi paling biasa di mana keracunan makanan dilaporkan ialah sekolah awam, dengan bilangan kes tertinggi di dapur sekolah berasrama penuh, diikuti oleh kantin sekolah. Dapur umum di sekolah berasrama penuh yang direka untuk menyimpan sejumlah besar bahan mentah untuk dimasak lebih mudah terdedah kepada kerosakan makanan.

Penyakit bawaan makanan

Langkah-langkah kawalan makhluk perosak yang lemah dan peningkatan risiko pencemaran silang semasa pengendalian makanan termasuk pengangkutan dan penghantaran bahan mentah dan makanan yang dimasak, serta kawalan yang tidak mencukupi terhadap proses pembuatan seperti kawalan suhu dan keadaan penyimpanan dikenal pasti sebagai faktor kritikal yang menyumbang kepada wabak ini.

Oleh sebab itu, pendidikan yang disasarkan bagi pengendali makanan adalah penting untuk meningkatkan pengetahuan mereka mengenai keselamatan makanan dan penyakit bawaan makanan yang boleh mempengaruhi tingkah laku dan amalan masa depan mereka yang berkaitan dengan keselamatan makanan.

  • Memandangkan peningkatan jumlah kes keracunan makanan yang berlaku di negara ini, CAP menggesa Kementerian Kesihatan untuk:

  • Menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan dengan keselamatan makanan dengan tegas.

  • Menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan berkala ke atas premis makanan.

  • Mendidik pengguna melalui media sosial mengenai cara mencegah keracunan makanan.

Gambar hiasan.

Sementara itu, pengguna dinasihatkan untuk meningkatkan standard mereka dan menghentikan daripada mengunjungi kawasan perniagaan yang terletak di tempat yang mempunyai standard kebersihan yang tidak bersih.

Ini adalah salah satu cara yang paling berkesan untuk memberi tekanan kepada penjual makanan supaya tidak meneruskan amalan tidak bersih mereka.


MOHIDEEN ABDUL KADER ialah presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.