SURAT | Kos sara hidup: Beban yang ditanggung rakyat
Selangkah ke kedai runcit dan pasaran telah menjadi satu beban kepada rakyat Malaysia.
Kejatuhan nilai mata wang Malaysia dan inflasi yang meningkat telah memberikan impak yang signifikan kepada rakyat negara ini dan ini tidak boleh diabaikan dengan pelbagai propaganda bagi menutup keluhan rakyat.
Kita mengambil contoh yang mudah, sehelai wang ringgit yang bernilai RM50 pada masa kini tidak lagi memiliki nilai yang sama seperti sepuluh tahun yang lalu.
Inflasi adalah norma bagi mana-mana negara namun natijahnya akan lebih terkesan terhadap rakyat Malaysia, terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana jika tiada langkah kawalan yang serius.
Kejatuhan nilai mata wang Malaysia, terutamanya berbanding mata wang asing seperti dolar AS, euro dan yen Jepun, telah menyebabkan barangan import menjadi lebih mahal.
Ini bermakna rakyat perlu membayar lebih banyak wang untuk mendapatkan barangan asing, seperti elektronik, kenderaan import, dan barangan mewah lain.
Tambahan pula, pengurangan nilai mata wang juga boleh memberikan tekanan kepada ekonomi domestik, menyebabkan harga barang tempatan juga naik.
Hentikan alasan dengan menyatakan rakyat Malaysia bukan selalu melancong ke luar negara tetapi mari melihat kepada aspek yang lain seperti barangan makanan dan keperluan lain yang diimport.
Malaysia memperoleh sayur-sayuran, buah buahan dan daging sekurang-kurangnya dari 120 negara, mengimport lebih daripada 50 jenis bahan segar dan beku bagi memenuhi keperluan rakyat
Inflasi yang meningkat juga memberikan tekanan tambahan kepada rakyat Malaysia.
Inflasi merujuk kepada peningkatan secara umum dalam harga barangan dan perkhidmatan, dan ini bermakna wang rakyat kurang bernilai dari semasa ke semasa.
Kenaikan harga barangan harian seperti makanan, minyak petrol, dan perkhidmatan asas lain menyebabkan rakyat perlu mengeluarkan lebih banyak wang untuk menampung kos hidup.
Walaupun ada yang mungkin mencari alasan dengan menyalahkan kekuatan matawang negara lain, namun antara faktor utama yang tidak boleh dinafikan adalah dengan hakikat bahawa kelemahan ringgit mencerminkan kelemahan ekonomi kita sendiri.
Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga, kini bukanlah masa yang sesuai untuk mengenakan cukai tambahan kepada rakyat. Sebaliknya, adalah lebih baik untuk mencari cara-cara lain yang lebih
progresif untuk mengurangkan defisit fiskal dan mengawal kos sara hidup.
Ini termasuklah penambahbaikan dalam pengurusan kewangan negara, peningkatan dalam kecekapan perbelanjaan kerajaan, dan pemantauan yang teliti terhadap penggunaan dana awam.
Beban cukai
Peningkatan cukai SST dan cukai-cukai yang lain, juga memberikan beban.
“Compounding dan Domino Effect” semakin menggila di Malaysia. Makanan sememangnya tidak terkesan tetapi cukai yang meningkat di sepanjang “supply chain” semestinya memberikan kesan.
Tidak lupa juga dengan sentimen pengusaha yang terus sama meningkatkan harga barangan bagi mengekalkan margin keuntungan yang sama.
Selain itu, adalah penting bagi ahli politik untuk menghentikan permainan politik dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada membantu rakyat.
Malaysia masa kini memerlukan kesatuan dan kerjasama untuk menghadapi cabaran ekonomi yang dihadapi oleh negara.
Politik yang bermatlamat dan berpandangan jauh ke hadapan adalah kunci untuk membawa Malaysia keluar daripada krisis ini. Cukuplah Malaysia dan rakyatnya menyaksikan pergelutan kuasa, tebuk menebuk, dan lalu pintu belakang pasca PRU14.
Ahli-ahli politik harus jelas bahawa perebutan kuasa ini akan memberikan kesan yang berpanjangan, jangan hanya difikirkan tembolok masing-masing.
Secara kesimpulan, tindakan harus dilakukan sekarang walaupun sudah terlambat, kerajaan perlu mengambil langkah-langkah yang berkesan untuk menstabilkan nilai mata wang dan mengawal inflasi.
Ini mungkin termasuk menambah baik dasar-dasar ekonomi, meningkatkan produktiviti dan daya saing, serta memberikan bantuan kewangan kepada golongan yang memerlukan.
Mantan perdana menteri Najib Razak telah menyediakan garis panduannya, ketepikan keegoan politik dan mula implikasikan.
DARREN LAI CHAI EN ialah bekas pegawai di Pejabat Menteri Besar Johor.
Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai