SURAT | Hidup miskin dan berlakon miskin
SURAT | Aku percaya ramai antara kita yang melihat cara untuk keluar dari kepompong kemiskinan yang membelenggu adalah melalui pendidikan. Ini memang kepercayaan yang berasas.
Kajian oleh Khazanah Research Institute .turut membuktikan hal yang sama. Sebanyak 62 peratus rakyat Malaysia mempunyai tahap pendidikan yang lebih tinggi daripada ibu bapa mereka.
Dalam kalangan anak-anak yang ibu bapa mereka yang tiada pendidikan formal pun, 33 peratus berjaya mendapatkan pendidikan peringkat tertiari.
Untuk yang mempunyai ibu bapa berpendidikan tertiari usah cakaplah, 92 peratus daripada mereka pasti mendapatkan pendidikan tertiari.
Antara kesimpulan ringkas yang boleh kita buat daripada dapatan tersebut ialah pendidikan membuka ruang untuk mendaki tangga sosial.
Untuk generasi terdahulu, pendidikan membuka ruang untuk diri mereka – dalam ruang pekerjaan dan sosial – sekali gus anak-anak mereka.
Anak-anak itu pula terus dapat memanfaatkan usaha ibu bapa terbabit dan mengangkat lagi diri mereka. Ini dibuktikan melalui mobiliti pekerjaan dan kemahiran – 37 peratus mempunyai pekerjaan yang lebih baik atau ‘mahir’ berbanding ibu bapa mereka.
Untuk pelajar terkekang
Namun, ia tidak bermakna semuanya indah belaka. Masih ada yang tercicir ketika mendaki tangga sosial. Tambah-tambah lagi apabila ada si kaya yang celaka yang berada di atas lalu menerajang jatuh si miskin ketika mereka mendaki.
Kita tengok sajalah isu kemasukan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan sekolah berasrama penuh (SBP) ini. Saban tahun pasti ia menjadi topik dibincangkan.
Aku tidak apologetik dalam isu ini. Memang ada orang kaya yang mengambil tempat orang miskin. Kalau ada yang terasa dan menyatakan anak mereka berusaha, layak, dan sebagainya, di sini aku beritahu kenapa kamu salah.
Orang kaya perlu faham betapa susahnya menjadi miskin. Orang kaya ada lebih akses kepada pendidikan berbanding orang miskin. Kelas tambahan, buku-buku yang diperlukan – semuanya adalah privilege di mata orang miskin namun dianggap hal yang biasa untuk orang kaya.
Orang miskin tidak mampu untuk mendapatkan akses tersebut.
Isu bandar-luar bandar yang melibatkan kekurangan guru berkelayakan atau kemudahan yang tidak sempurna turut menjadi faktor.
Sekolah berasrama adalah untuk mereka yang kekurangan segala hal tersebut Kelayakan itu perlu dilihat sebagai sebentuk tirani merit.
Apakah boleh kita banding pelumba lari yang terpaksa bermula 500 meter lebih belakang daripada pelumba lain?
Dalam memahami isu kemiskinan, kita kena lihat kepada akses. Antara pandangan yang umum adalah bagaimana kemiskinan terlahir daripada inequality of outcomes.
Hak dapat peluang sama
Ini separa betul. Kita tidak boleh melihat secara menyeluruh sekiranya kita tidak mengambil kira inequality of opportunities.
Umpamanya begini: Kita semua berada dalam satu penjara yang luas. Ada masanya pintu akan terbuka, dan siapa yang berjaya keluar akan bebas.
Sudah tentu mereka yang berada lebih hampir dengan pintu atau yang tidak dibebani dengan cabaran akan lebih mudah untuk keluar. Yang terkebelakang atau yang terkekang oleh keadaan sekeliling tidak akan mendapat kemudahan yang sama.
Akses kepada pintu berbeza.
Sama halnya dengan peluang. Tidak semua orang mendapat akses kepada peluang, apatah lagi kepada hasil yang diinginkan.
Orang kaya – terutamanya yang menerima manfaat dari institusi tersebut – telah pun mendapat akses kepada peluang. Apakah mereka yang miskin tidak berhak menerima peluang yang sama?
Yang lebih aku geramkan sekarang ialah jawapan orang kaya apabila disoal mengapa memasukkan anak mereka ke MRSM, iaitu ingin mengajar anak hidup susah.
Kalau anak orang kaya masuk MRSM untuk belajar hidup susah, anak orang miskin nak belajar apa?
Apabila kita katakan yang orang kaya mengambil tempat orang miskin, ya, kita maksudkannya secara literal. Orang kaya – terutamanya alumni institusi itu yang berjaya hasil peluang yang diberikan – kini menyekat peluang untuk orang lain merasai kejayaan sepertimana mereka kecapi.
Kalau dulu orang kaya itu tidak diberi peluang pendidikan yang elok, belum tentu mereka menjadi kaya atau berjaya.
Sudahnya institusi untuk orang yang benar-benar susah menjadi tempat untuk orang kaya berlakon menjadi susah. Bukan salah anak-anak yang masuk.
Mereka masih belum memahami soal sosioekonomi rakyat dan perihal kemiskinan serta pendidikan. Ini masalah pemikiran ibu bapa mereka yang sudah mengambil manfaat untuk diri mereka dan kemudiannya ingin terus membolot.
Hilang motivasi lepas hak dirampas
Makin kayalah mereka. Akhirnya ia mewujudkan masyarakat yang tempang sosioekonominya, yang tidak membantu orang susah, dan yang menghalang mereka untuk keluar dari kemiskinan.
Bak kata Anwar Ibrahim, “yang kaya terus kaya, yang miskin papa kedana”. Justeru, akses peluang itu perlu difahami sebagai aspek yang penting dalam mobiliti sosial untuk keluar dari kemiskinan.
Menjadi miskin tanpa peluang sangat menyahkan motivasi diri. Hari-hari hidup susah, tidak nampak jalan keluar.
Teringat aku pada analisis Shaharuddin Maaruf tentang catatan Munshi Abdullah terkait isu kemiskinan di Kelantan dan Terengganu. Isunya bukan orang miskin malas, tetapi mereka tidak diberi peluang.
Mana tidaknya, asal ada sedikit hasil tanaman, pasti ia dirampas oleh konco-konco raja. Akhirnya, mereka lebih rela tidak bercucuk tanam. Mereka hilang motivasi apabila orang kaya merampas hak orang miskin.
Begitu halnya dengan isu orang kaya mengambil tempat di sekolah yang dibina untuk orang miskin, sekalipun tidaklah secara terus seperti kisah catatan Munshi Abdullah tadi.
Sekiranya keadaan itu dibiarkan, kita hanya akan mengembangkan lagi jurang kaya-miskin. Tidak ada lagi peluang-peluang buat orang miskin kerana habis direbut si kaya.
Anak orang miskin akan melihat jurang itu sebagai suatu bentuk penyisiran, menjadikan mereka golongan rentan. Kini, perasaan rentan itu dipasungkan oleh mereka sendiri.
Ini perkara yang perlu kita elakkan dalam pembangunan masyarakat dan pembinaan negara. Pesan aku, cukup-cukuplah mengambil hak mereka yang miskin atas apa alasan sekalipun – apatah lagi alasan untuk berlakon miskin.
ALIFF NAIF MOHD FIZAM ialah pegawai khas kepada ahli parlimen, ahli Majlis Pimpinan Pemuda PKR Malaysia dan mantan Presiden Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai