Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

SURAT | Bilakah perang Gaza akan berakhir?

Jawapan paling ringkas dan tepat, wallahua’lam. Hanya Allah sahaja yang tahu. Allah sudah pasti mempunyai rancanganNya yang tersendiri. Perang ini akan tamat pada saat yang paling tepat, dalam keadaan yang terbaik, dengan cara yang Dia kehendaki.

Namun, manusia fitrahnya tergesa-gesa (Al-Anbiya’: 37). Lagipun, ramai sudah tidak tahan melihat pembunuhan yang berlaku hampir setiap jam di Gaza. Apalagi perang sudah berlarutan lebih dua bulan.

Lebih memeritkan apabila dunia Arab dan Islam gagal membantu dan memberi perlindungan yang sewajarnya kepada rakyat Palestin; selain hipokrasi dunia barat yang mendabik dada memperjuangkan hak asasi manusia tetapi terus berdiam diri terhadap jenayah perang Israel di Gaza.

Ini adalah cubaan penulis untuk membaca dan menduga bilakah perang ini akan berakhir berdasarkan beberapa isyarat dan petunjuk yang telah dikenal pasti.

‘Operation Shield of Iron’ yang dilancar oleh Israel ke atas Gaza pada hari ini adalah operasi ketenteraan yang kelima sejak tahun 2008. Ia merupakan operasi paling lama setakat ini; melepasi tempoh ‘Operation Protective Edge’ 2014 yang berlangsung selama 50 hari.

Operasi ini juga merupakan operasi ketiga yang menyaksikan tentera Israel menceroboh dan menyerang Gaza melalui darat. Dalam dua operasi sebelum ini, pada tahun 2008/2009 dan 2014, operasi darat berlangsung selama 19 hari (3-21 Januari 2009; 17 Julai-4 Ogos 2014); tidak lebih dari tiga minggu.

Ketika artikel ini mula ditulis, operasi darat Israel telah pun berlarutan selama 42 hari; dua kali ganda dari tempoh operasi darat sebelum ini.

Pemberhentian serangan darat dalam dua operasi sebelum ini berlaku secara unilateral selepas Israel merasakan mereka telah berjaya mencapai objektif serangan darat yang dilancarkan.

Pada tahun 2009, Israel menghentikan serangan selepas tiada lagi tempat yang boleh disasarkan sehingga tentera mereka mengebom lokasi sama buat kali kedua.

Daripada menghabiskan bom secara sia-sia baiklah mereka berhenti. Apalagi serangan tersebut telah pun menerima kecaman hebat daripada komuniti antarabangsa.

Pada tahun 2014 pula, Israel menamatkan serangan darat selepas berpuas hati dengan kejayaan memusnahkan 34 terowong Hamas di sepanjang sempadan Israel-Gaza. Walau bagaimanapun, perang hanya tamat sepenuhnya pada 26 Ogos 2014 selepas kedua-dua pihak bersetuju dengan syarat-syarat gencatan senjata.

Dengan kata lain, berdasarkan rekod peperangan sebelum ini, wujud sekurang-kurangnya dua cara untuk mengakhiri perang ini; sama ada melalui tindakan unilateral Israel atau melalui perjanjian gencatan senjata.

Mengharap Israel untuk menamatkan perang secara unilateral pada ketika ini boleh dikatakan hampir mustahil. Israel ketika ini ibarat seekor anjing gila yang akan menyerang sesiapa sahaja yang ada di depan mata mereka.

Pujukan Rishi Sunak, Emmanuel Macron, Olaf Scholz dan Ursula von der Leyen semua tak menjadi. Bahkan tangan Joe Biden pun digigitnya.

Serangan 7 Oktober nampaknya telah menyebabkan Israel hilang pertimbangan dan kemampuan untuk berfikir secara waras dan strategik.

Rejim itu dilihat nekad ingin membalas dendam ke atas serangan yang telah memalukan dan merosakkan reputasi mereka. Justeru, pilihan seterusnya ialah gencatan senjata.

Perang kali ini telah pun menyaksikan satu gencatan senjata kemanusiaan berjaya dipersetujui dan dilaksanakan pada hari ke-49 peperangan.

Malangnya gencatan senjata ini bertahan selama 7 hari sahaja dan tidak sempat dirunding sehingga menjadi gencatan senjata penuh.

Antara sebab utama yang menghalang gencatan senjata ini dilanjutkan ialah keinginan Israel untuk meneruskan serangan bagi mencapai matlamat perang mereka yang masih jauh dari sasaran.

Israel melancarkan perang kali ini dengan tiga matlamat utama iaitu menghapuskan Hamas, membebaskan rakyat dan tentera Israel yang ditawan oleh Hamas dan menukar rejim pemerintah di Gaza. Memasuki minggu kesepuluh peperangan, ketiga-tiga matlamat ini masih jauh daripada sasaran.

Hamas bukan sahaja masih wujud bahkan mampu melancarkan roket ke dalam wilayah Israel hampir setiap hari. Sepanjang operasi darat, Hamas juga dilapor berjaya memusnahkan lebih 400 kereta kebal dan kenderaan berperisai Israel, membunuh sekurang-kurangnya 90 orang dan mencederakan ribuan tentera Israel.

Dalam bab pembebasan tawanan, sepanjang 48 hari peperangan sebelum gencatan senjata dipersetujui, tiada seorang pun tawanan yang berjaya dibebaskan. Empat orang tawanan yang bebas dalam tempoh tersebut kesemuanya dibebaskan oleh Hamas secara unilateral.

Sebaliknya, sepanjang tujuh hari gencatan senjata kemanusiaan, 78 orang tawanan warganegara Israel berjaya dibebaskan. Sebagai timbal balas, Israel membebaskan 240 orang rakyat Palestin yang ditahan di dalam penjara Israel.

Tentang matlamat Israel untuk menukar pemerintahan di Gaza, biarlah ia jadi impian dan igauan mereka. Tiada manfaat untuk membicarakan hal ini dengan panjang lebar sedangkan dua matlamat pertama pun mereka tidak mampu mencapainya.

Matlamat Israel untuk menghapuskan Hamas dan menukar rejim pemerintahan di Gaza telah pun diakui oleh ramai penganalisis sebagai matlamat yang hampir mustahil. Jika Israel benar-benar mahu melaksanakannya, ia memerlukan belanjawan yang besar dan tempoh masa yang lama.

Kementerian Kewangan Israel sudah pun mengeluarkan anggaran kos peperangan kali ini. Perbelanjaan perang kali ini dijangka akan mencecah sehingga $50 billion. Jumlah ini adalah 20 kali ganda berbanding perbelanjaan perang pada tahun 2014.

Pun begitu, jumlah ini masih berisiko untuk terus meningkat kerana ia diunjurkan dengan anggapan perang akan berlangsung tidak lebih daripada setahun, perang tidak akan merebak ke kawasan lain selain Gaza dan tentera simpanan akan kembali bekerja semula sejurus perang tamat.

Setakat hari ini, masih tidak wujud tanda-tanda Israel telah benar-benar menguasai wilayah utara dan bandar Gaza walaupun kedua-dua wilayah ini telah dikepung sejak 6 November.

Kemaraan tentera Israel dilihat berlaku dengan sangat perlahan ekoran tentangan hebat yang diberikan oleh Hamas dan kumpulan pejuang yang lain.

Serangan Israel juga dilihat masih tertumpu kepada serangan udara dan darat. Peperangan di dalam terowong belum pun bermula. Walhal jika Israel benar-benar ingin menghapuskan Hamas, mereka sepatutnya sudah mula memasuki dan menyerang terowong-terowong Hamas di Gaza.

Dengan kata lain, lagi lama Israel menangguhkan peperangan di dalam terowong, lagi tinggi risiko tempoh perang terpaksa dilanjutkan. Ini akan turut memberi tekanan ekonomi kepada Israel dengan perbelanjaan perang hari ini dianggarkan mencecah AS$237 juta sehari. Ini tidak termasuk kerugian sehingga AS$600 juta seminggu ekoran aktiviti ekonomi yang tergendala.

Sehingga saat ini, Israel dapat menyerap semua tekanan ini termasuk tekanan politik dan diplomatik ekoran sokongan tidak berbelah bahagi daripada Amerika Syarikat (AS). Jika tidak, mustahil Israel dapat terus bertahan.

Pun begitu, keupayaan AS semakin menipis. AS telah mengusulkan bantuan bernilai AS$10 bilion untuk Israel kepada kongres. Tapi bantuan ini hanyalah 20 peratus daripada unjuran keperluan perang yang sebenarnya. AS tidak dapat menyalurkan bantuan lebih besar kerana negara itu masih perlu berbelanja besar untuk perang di Ukraine.

Ruang untuk AS memberi perlindungan diplomatik kepada Israel juga semakin sempit. Setakat hari ini, AS telah memveto empat resolusi antarabangsa - dua resolusi Majlis Keselamatan dan dua resolusi Perhimpunan Agung, yang menuntut gencatan senjata dilaksanakan.

Terbaru, AS dikecam hebat kerana memveto draf resolusi yang diusulkan selepas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres (gambar, bawah) menggunakan Artikel 99 untuk mendesak Majlis Keselamatan melaksanakan gencatan senjata di Gaza. Ini kali pertama sejak tahun 1989 kuasa artikel ini digunakan untuk mengelak bencana kemanusiaan yang lebih besar.

Kecaman tersebut tidak hanya memberi kesan kepada reputasi AS di peringkat antarabangsa bahkan turut memberi kesan kepada reputasi Presiden Joe Biden apabila kadar populariti beliau merosot kepada 31 peratus; lebih rendah daripada kadar populariti Donald Trump pada tahap 37 peratus.

Jadi, bilakah perang akan berakhir. Tidak lama lagi, insyaAllah. Isyarat yang ada menunjukkan Israel tidak mampu menempuh perang yang panjang. AS pula sudah cukup terbeban dengan perang di Ukraine untuk membuka satu lagi medan di Israel.

Tambahan pula, naratif operasi ketenteraan Israel sudah tidak dapat dipertahankan lagi selepas lebih 18,000 orang penduduk Gaza terbunuh; majoriti daripadanya wanita dan kanak-kanak.

AS perlu memaksa Israel untuk berpijak di bumi nyata dan menyedari bahawa matlamat perangnya hampir mustahil dapat dilaksanakan. Gencatan senjata adalah jalan terbaik untuk Israel keluar dari perang kali ini. Paling tidak gencatan senjata mampu membebaskan rakyat dan tenteranya yang ditawan.

Jika tidak, bukan hanya Netanyahu dan Israel yang perlu membayar harganya, AS dan Biden juga akan terheret sama.


KHALID JIMAT ialah Ketua Pegawai Penyelidik Palestine Centre of Excellence (PACE).

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.