Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

SURAT | Terima kasih Kit Siang, lagi kuatlah DAP ditolak

Lim Kit Siang sekali lagi menyuarakan sikap chauvenisnya mengenai orang bukan Melayu boleh menjadi perdana menteri. Alasannya perlembagaan tidak ada halangan.

Apa pun alasan yang diberi, banyak lagi alasan yang tidak boleh bukan Melayu menjadi perdana menteri.

Dari segi sejarah Malaysia bumi Melayu, asalnya Persekutuan Tanah Melayu. Agama Persekutuan adalah Islam dan Islam adalah orang Melayu mengikut perlembagaan.

Ketua negara adalah Yang di-Pertuan Agong dan ketua agama Islam di lapan negeri mempunyai raja-raja Melayu. Adat istiadat adalah mengikut budaya Melayu.

Penduduk malaysia 60 peratus lebih adalah orang Islam dan Melayu. Mustahil bukan Melayu boleh jadi Perdana Menteri. 

Lafaz sumpah dimulakan dengan bacaan bismillahirrahmanirrahim dan lain-lain peraturan istiadat.

Sebagai kaum minoriti, belajarlah hidup dengan hormat dengan kaum majoriti. 

Orang Melayu Singapura tidak meminta jawatan perdana menteri, walaupun asal usul Singapura adalah negeri Melayu. Dulu dikenali sebagai Temasik. Tidak perlu untuk dihuraikan dengan panjang lebar lagi.

Apapun, saya berterima kasih kepada Lim kerana bila beliau menyatakan bukan Melayu boleh jadi PM, maka lagi kuatlah orang Melayu menolak DAP dan benci DAP. Ibarat orang mengantuk disuruhkan bantal. 

Saya adalah orang yang paling gembira bila orang Melayu tolak DAP. Orang Melayu adalah bangsa yang cerdik. Orang Melayu tahu bahaya DAP kerana dasar Malaysian Malaysia dan Deklarasi Setapak. 

Orang Melayu Malaysia telah mengambil pengalaman orang Palestin dan Melayu Singapura.

Orang Melayu tolak DAP tetapi orang Melayu menerima kaum Cina sebagai rakyat Malaysia yang mendukung perlembagaan dan Rukun Negara.

Cuma ada segumpal Melayu liberal yang bersikap semua boleh–Melayu yang gila kuasa, pangkat dan harta. 

Tetapi majoriti Melayu masih ada jati diri dan bersemangat patriotisme. Melayu tulen adalah Melayu warisan Mat Kilau dan Tok Janggut.


IBRAHIM ALI ialah presiden Putra.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.