Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

SURAT | Percepat bayaran Tunai Rahmah Fasa 4 sebelum Deepavali

SURAT | Perayaan Deepavali bakal disambut oleh masyarakat India di Malaysia pada 12 November 2023. 

Ia diketahui umum perayaan Deepavali adalah sebuah perayaan yang disambut oleh masyarakat India sejak turun temurun. 

Kini perayaan Deepavali bukan hanya disambut oleh masyarakat Hindu malah turut disambut oleh masyarakat Malaysia pelbagai kaum yang menyertai sambutan ini yang meraikan semangat kekeluargaan dan perpaduan. 

Saya ingin mengambil kesempatan untuk menyuarakan hasrat dan harapan rakyat kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan untuk mempercepatkan pembayaran STR fasa 4 sepertimana yang dibuat semasa sambutan Aidilfitri dan Aidiladha 2023 bagi meringankan beban kewangan rakyat. 

Berbaki 12 hari sahaja untuk sambutan hari Deepavali namun realitinya masih ramai tidak mampu membuat persiapan mahupun membeli belah kerana berhadapan dengan beban kewangan dan kos sara hidup yang semakin meningkat. 

Jika perdana menteri dapat meluluskan pembayaran STR fasa 4 sebelum perayaan Deepavali ia akan sekali gus meringankan beban majoriti golongan miskin tegar. 

Pemberian awal STR fasa 4 empat ini sekali gus membuktikan keprihatinan kerajaan perpaduan dalam membantu rakyat yang memerlukan.

Tindakan mempercepatkan pembayaran STR fasa 4 bukan sekadar meringankan beban masyarakat Hindu yang bakal menyambut perayaan Deepavali malah ia turut akan meringankan beban mereka yang berhadapan fenomena Monsun Timur Laut dan risiko banjir yang secara lazimnya berlaku pada bulan November. 

Tambahan pula, pengumuman Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menamatkan subsidi dan kawalan harga ayam bermula 1 November 2023 telah menimbulkan keresahan dan kerisauan tentang kenaikan harga ayam menjelang Perayaan Deepavali yang bakal disambut nanti. 

Meskipun rasionalisasi subsidi adalah satu tindakan berani kerajaan untuk memastikan tiada ketirisan subsidi namun Ianya perlu ditangani dengan baik supaya tidak berlaku kenaikan mendadak dan gangguan bekalan semasa rakyat sedang buat persiapan menjelang perayaan Deepavali. 

Kerajaan harus menguatkuasakan kawalan harga khas sempena perayaan Deepavali dengan segera bagi memastikan tidak berlaku kenaikan dalam harga ayam dan barang keperluan lain. 

KPDN juga boleh menjalankan “Ops Khas Deepavali” bagi memastikan barang harga kawalan dijual dengan harga yang ditetapkan. 

Selain itu, kerajaan juga harus perluas Jualan Agro Madani, Jualan Rahmah khas untuk Deepavali sebagai inisiatif Kerajaan untuk bantu masyarakat india membuat persiapan membeli barang keperluan menjelang Deepavali. 

Akhir sekali, menjadi harapan besar masyarakat India supaya perdana menteri mempertimbangkan cuti awam tambahan sehari seperti mana diperuntukkan untuk perayaan lain sebagai tanda menghormati sentimen, pengorbanan dan kepentingan masyarakat India yang bakal menyambut perayaan Deepavali. 

Sekiranya ia tidak dapat dipenuhi, saya mohon perdana menteri sekurang kurangnya mempertimbangkan cuti tambahan khas untuk penjawat awam, IPTA dan sekolah bagi mereka yang berbangsa India untuk menyambut hari Deepavali. 

Saya yakin dan percaya perdana menteri akan mempertimbangkan perkara yang dinyatakan dan membuat satu pengumuman khas bagi mengiktiraf harapan besar masyarakat India di Malaysia yang bakal menyambut perayaan Deepavali yang pertama semasa pentadbiran PMX Anwar Ibrahim.  

Perayaan Deepavali membawa mesej memerangi kejahatan dan menyinari kehidupan rakyat.

Naragasooran yang menzalimi rakyat telah ditumbangkan dan kegelapan yang dihadapi rakyat sekian lama terus mendapat sinar selepas tumbangnya raksasa bernama Naragasooran. 

Itu peristiwa sebalik perayaan Deepavali yang disambut untuk menghidupkan cahaya bagi memberi petunjuk dari kegelapan. 

Saya doakan semoga ada sinar baru buat negara tercinta dalam era pentadbiran Anwar Ibrahim. 


THIBAN SUBBRAMANIAM ialah timbalan ketua setiausaha pengelola PKR merangkap ketua cabang PKR Kuala Selangor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.