Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

SURAT | Kegagalan Majlis Keselamatan PBB memalukan

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mencermati perkembangan terkini Persidangan Majlis Keselamatan PBB dalam mencari jalan penyelesaian berhubung konflik yang berlaku di wilayah Palestin.

Abim menegaskan usul yang dibawa Russia untuk menetapkan resolusi gencatan senjata gagal dicapai adalah sesuatu yang amat memalukan.

Dalam laporan PBB menyatakan kegagalan tersebut disebabkan kegagalan usul tersebut mendapat sokongan sekurang-kurangnya sembilan negara anggota Majlis Keselamatan PBB.

Dalam undian yang dibuat, usul tersebut hanya diterima oleh empat negara anggota iaitu Rusia (pembawa usul), China, Gabon, dan UAE.

Usul tersebut ditolak oleh Amerika Syarikat dan United Kingdom, manakala sembilan negara anggota memutuskan untuk berkecuali iaitu Albania, Brazil, Ecuador, Perancis, Ghana, Jepun, Malta, Mozambique, Switzerland.

Abim menegaskan krisis kemanusiaan di Gaza khususnya hari ini kian memuncak memasuki hari ke dua puluh dengan catatan kematian penduduk Gaza mencecah 7,000 korban yang melibatkan kanak-kanak, wanita serta orang tua.

Maka, Abim menegaskan semua pihak harus meletakkan nilai kemanusiaan di hadapan sebagai jalan menyelamatkan nyawa masyarakat awam dengan menolak kepentingan mana-mana blok politik.

Kegagalan ini juga akan memberi kesan kepada kestabilan politik sejagat kerana kegagalan PBB berperanan di pentas politik antarabangsa.


MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ ialah Presiden Abim.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.