Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

SURAT | Merai penulis dalam ranahnya

SURAT | Baik dalam apa jua ranah; zamannya sentiasa berubah-berubah. Cuma semangat dan jiwa kekal menjadi sejarah kehidupan peribadi apabila dia tahu apa makna tujuannya untuk memilih, memihak, berkehendak dan menentukan untuk bersikap atau bersifat lalu meraikannya.

Kenapa kita mahu bersungut atau mengeluh untuk sesuatu yang kita sendiri mulakan secara rela? Tindakan yang perlu dipersoal adalah ketika persoalan tersebut kita harus memilih diri sendiri sebagai apa dan siapa sebelum menuntaskan secara aksi.

Polemik tua muda rasanya agak terlalu terkebelakang untuk dicetuskan pergelutan massa jika tiada asas kukuh untuk dipertahankan argumentasi yang sihat tapi sebaliknya secara tak langsung akan menjadi titik tolak kesedaran jika membuka ruang kerencaman ide dan karya yang melangkaui sifat lapangan kemenjadian apabila argumentasi bukan lagi bersandarkan dogma-dogma persepsi emosi atau empati.

Yang berlalu adalah sejarah dan sejarah adalah keabadiaan bagi yang meraikan pembumian kelestarian ilmu.

Seperti ketika pergolakan dan polemik seni untuk siapa atau tentang manifestasi sastera islam yang telah menjadi sejarah panjang puluhan tahun hingga tak pernah selesai pun sebenarnya seni itu untuk siapa dan apakah sebenarnya rupa bentuk sastera islam sampai ke hari ini. Pun begitu lapangan-lapangan massa tentang dunia penulisan tetap berkembang dan mekar dengan caranya.

Pelbagai reaksi timbal balas tentang polemik golongan tua dan muda tetapi dengan timbal balas sejak akhir-akhir ini; percayalah. Penulis tetap dalam rencamnya. Takut sangat kamu kalau penulis muda sudah mati jika hidupnya sekadar menunggang egois personalti.

Biarlah kalau ada ratusan persatuan pun jika wujudnya menunggu retak sebuah keberagaman kebersamaan dan berjalanlah sendiri kalau dirimu sudah saling tidak memerlu.

Atau peduli sangat penulis tua untuk menghadirkan diri merai acara-acara sub-budaya di padang rumput, aspal panas, lecah lumpur atau terpaksa menyimpan baju batik yang usang kerana mahu merai keterpaksaan? Biarlah dia jujur segerak dengan tindaknya.

Kita ada bahagian dalam hidup masing-masing ketika memperlihatkan juangdaya kepada keluhuran hidup. Kitaran usia dan perjalanan setiap penulis juga tersendiri dalam jalur masanya.

Perbandingan itu dan ini bersifat peribadi bukanlah sebuah pembuktian konkrit tetapi yang kita harus tekuninya adalah keperibadian hidup untuk mewujudkan ekosistem yang lebih didukungi kerana kehendak dan keperluan individu bukanlah bersifat binari tetapi mempunyai dinamikanya tersendiri.

Ketika politikus kita tidak malu-malu;

Sebelum pemilu, laganya melulu-lulu.

Tamat pemilu. Semuanya saling bercumbu.

Ada yang tersipu-sipu, ada yang menjadi sekutu dan agamawan kita pula bukan lagi sekadar berbalah

Tapi ramainya sudah yang bertelagah.

Malah ada yang mengingkar dakwah,

menggugah masalah, mencemas maslahah.

Sasterawan kita? Adakah bukan lagi pemandu arah; penyongsang peribadi megah atau sosok indah penuh hikmah? Tapi menyesakkan ranah dengan siapa yang terpaling memacu sejarah. Kita melihatnya sambil berketawa kahkahkah merai amarah?

Atau melepas pasrah?

Sudahlah, kalau kamu mahu hadir. Hadirlah ke mana-mana yang mahu rasa kamu selesa berada, dengan siapa dan kapasiti apa. Misalnya di Perlis saja ada pelbagai aktiviti tua muda hingga akhir tahun ni seperti diskusi sastera, perkongsian acara pembudayaan seni dan sub-budaya serta pelbagai lagi.

Kita ini saling menduga pada kedugaan masing-masing yang akhirnya memenangkan dugaan sendiri untuk membuktikan kebenaran kita.

Jadi relakslah.


ARAFAT HAMBALI ialah pendiri BalBuk Haus, sebuah ruang pengkaryaan seni di Perlis dan bekas Pemenang Hadiah Sastera Selangor 2015.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.