Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

SURAT | Isu yuran siswa: Kementerian perlu segera  campur tangan

Pertubuhan Jasanusa menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) segera campur tangan  dalam menyelesaikan isu zero balance policy (dasar tiada baki) bagi pembayaran yuran mahasiswa di Universiti Malaya (UM) ketika ini. 

Ia bukan sahaja boleh mengancam kesinambungan mahasiswa untuk meneruskan pengajian di  universiti itu malahan turut memberi imej buruk terhadap sektor pendidikan tertiari ketika negara dilanda krisis “72 peratus remaja lepasan SPM enggan sambung  pelajaran ke peringkat tinggi”. 

Sungguhpun universiti awam (UA) diberi kuasa autonomi bawah Pelan Strategik  Pendidikan Tinggi Negara, untuk mengurus sumber kewangan sendiri, kebebasan  itu tidak bermakna pengurusan UA boleh terus hilang sifat tanggungjawab sosial dan  kemanusiaan sebaliknya hanya fokus terhadap keuntungan perniagaan. 

Masyarakat masih melihat ijazah UA sebagai “sijil mampu milik” untuk semua golongan masyarakat  dari pelbagai kemampuan ekonomi kerana pada persepsi mereka, tanggungjawab menyediakan  pendidikan tertiari untuk rakyat adalah kewajipan kerajaan. 

Namun, jika UA sudah dilihat menjurus kepada penjanaan kewangan seolah-seolah seperti  institusi pengajian tinggi swasta, sektor pendidikan negara akan dilihat tidak lagi bertujuan untuk  pemerkasaan komuniti atau memandaikan rakyat, sebaliknya perniagaan untuk  menjana ekonomi. 

KPT juga wajar menyemak kadar yuran pendaftaran pelajar baharu di UA yang ada  sebahagiannya mencecah sehingga RM3,000 bagi membolehkan seseorang lepasan SPM  memulakan pengajian di sesebuah UA. 

Angka ini sangat tinggi dan semakin menjadi kebimbangan kepada ramai ibu bapa sehingga  menyebabkan mereka lebih menyokong anak mereka menjadi pempengaruh media sosial atau  pekerja gig berbanding memasuki universiti selepas cemerlang dalam SPM. 

Sekiranya kuasa autonomi yang diberikan kepada UA mengakibatkan banyak UA bergelut  dengan krisis kewangan dan budaya korporat yang tersasar dari budaya akademik, KPT wajar  menyemak semula kuasa autonomi tersebut. 

Janganlah sampai angka 72 peratus lepasan SPM enggan menyambung belajar, akan melonjak kerana ketika ini juga, trend murid tercicir SPM turut mula meningkat setiap tahun. 


SAMSUDIN AWANG ialah presiden Jasanusa.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.