Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

SURAT | Pembangkang lemah jadikan masyarakat dungu

Politik kepartian di Malaysia menyaksikan bahawa penyokong akan mengulang apa-apa sahaja yang dikatakan oleh pemimpin mereka, ini kerana politik tanah air telah dicandu dengan politik pasca-kebenaran (post-truth), apabila fakta tidak diperlukan untuk meyakinkan mereka yang menyokong sesebuah parti politik, emosi dan bias menjadi falasi yang dilihat sebagai kebenaran bagi mereka yang taksub kepartian.

Maka pada hari ini, menjadi pembangkang adalah satu posisi yang mudah.

Kesannya kita lihat begitu banyak contoh-contoh ahli parlimen pembangkang kelihatan tidak memahami peranan mereka.

Sebagai contoh peraturan dewan yang dirujuk oleh Ahli Parlimen Besut Che Mohamad Zulkifly Jusoh (gambar, bawah) yang bangkit baru-baru ini mengatakan Ahli Parlimen Klang Ganabatirau Veraman mengelirukan dewan berkaitan mesyuarat Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) sedangkan tiada kekeliruan kecuali dirinya sendiri.

Atau sikap mudah tersinggung dengan teguran daripada blok kerajaan seperti Ahli Parlimen Jasin Zulkifli Ismail ke atas senator Saifudin Nasution mahupun Ahli Parlimen Marang Abdul Hadi Awang yang mengeluarkan ‘fatwa’ DNAA (perintah mahkamah melepas tanpa membebaskan daripada pertuduhan) tiada dalam Islam sedangkan beliau sendiri meluluskan DNAA dalam Enakmen Jenayah Syariah Terengganu (2001).

Begitu juga dengan Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim yang tidak cakna tentang mesyuarat jawatankuasa untuk memanggil Peguam Negara untuk datang ke parlimen untuk memberi pencerahan tentang isu DNAA Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi dan banyak lagi contoh dalam sebulan dua ini.

Yang lebih menyedihkan perbuatan ahli parlimen pembangkang ini akan disebarkan dan disuap kepada minda penyokong mereka demi kelangsungan sokongan yang berterusan dengan harapan jatuhnya kerajaan hari ini sebelum PRU16.

Tidak dinafikan kebolehan mereka dalam menguasai media melalui video-video pendek dan penerangan konservatif sangat berkesan dan berjaya sehingga dalam sekejap sahaja penubuhan PN, mereka berjaya menjadi kuasa kedua terbesar di arena politik tanah air.

Kemuncak kepada kurangnya kualiti pembangkang yang kita ada hari ini dapat dilihat ketika hari pertama Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di blok pembangkang.

Dia dijulang sebagai suara yang lebih segar dan gagah untuk menghukum dan mengkritik kerajaan hari ini dengan fakta yang boleh dibahaskan berbanding dengan hujah yang bersandar pada emosi dan khabar angin dari media sosial semata-mata.

Pembangkang diperlukan untuk meneruskan praktis demokratik di negara ini melalui kritikan, hujah dan bangkangan yang membuka minda masyarakat dan parti memerintah.

Jangan dibawa semangat kepartian ke dalam dewan negara sehingga proses demokratik itu tidak berfungsi, jika ia berlarutan maka negara ini akan diurus secara tidak demokratik.

Masyarakat harus mempersoal keupayaan pembangkang berbahas dalam parlimen dan kualiti ahli parlimen pembangkang yang lantang namun tidak berisi - mereka akan menjadi beban untuk membetulkan persepsi dan informasi yang sampai kepada rakyat akan polisi-polisi yang dibahas di dewan rakyat.

Persoalannya adalah apakah kriteria untuk menjadi calon ahli parlimen atau ahli dewan undangan negeri (Adun) yang ditetapkan terhadap wakil pembangkang ini?

Bagaimana Ahli Parlimen Bachok Mohd Syahir Che Sulaiman yang digelar ‘orang yang paling bijak’ di blok pembangkang tidak pernah langsung berdebat sehinggalah pertembungannya dengan Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli pada Ogos yang lalu?

Walaupun demokrasi itu secara mudahnya kerajaan rakyat daripada rakyat untuk rakyat, tidak semestinya kita memilih ahli parlimen yang tahap intelektualnya hampir sama dengan rakyat kebanyakan.


SAKHRIL MARAT ialah graduan pengajian sains politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.