Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

SURAT| Segerakan tubuh Suruhanjaya Kanak-kanak

Sejak Pejabat Pesuruhjaya Kanak-kanak (OCC) ditubuhkan pada tahun 2019, antara aduan tertinggi diterima OCC ialah berkaitan hak kanak-kanak kepada perlindungan, dan perlindungan yang dimaksudkan ialah daripada jenayah seksual, penderaan, pengabaian dan kecuaian.

Aduan jenayah seksual amat kritikal kerana sebahagiannya melibatkan jumlah kanak-kanak yang ramai di kawasan pedalaman yang secara tradisinya kes diselesaikan secara pembayaran wang sogit (cara kampung), liwat melibatkan sejumlah pelajar sekolah oleh guru, dan beberapa kes pukul dan liwat terhadap penghuni oleh kakitangan di institusi rumah perlindungan kanak-kanak.

Ini cumalah sebahagian kecil daripada kes yang dilaporkan dan jumlah kes yang tidak dilapor tentulah lebih banyak lagi.

Kes-kes di atas telah berjaya diketengahkan dan diambil tindakan wajar oleh semua pihak berwajib kerana OCC telah memainkan peranan menjadi badan yang menyelaras semua pihak berkaitan untuk saling bekerjasama bagi menegakkan keadilan dan memberi perlindungan kepada mangsa kanak-kanak.

Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Dr Farah Nini Dusuki.

Walau bagaimanapun, OCC tidak dapat melakukan tugas ini secara meluas jika masih dikekang dengan peruntukan yang tidak mencukupi, tiada akta sendiri, dan kapasiti dan sistem aduan yang penuh serba kekurangan.

Justeru itu, penubuhan Suruhanjaya Kanak-kanak yang bebas dengan akta tersendiri amat penting supaya perlindungan dan promosi hak semua kanak-kanak di Malaysia dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan sistematik.

Telah ada lebih dari 50 negara di dunia ini masing-masing memiliki sekurang-kurangnya satu badan pemantauan hak kanak-kanak.

Sesetengah badan pemantauan hak kanak-kanak telah ditubuhkan di peringkat kebangsaan misalnya di New Zealand dan Norway.

Sementara itu, di Australia dan Amerika Syarikat, setiap kerajaan negeri menubuhkan Suruhanjaya Kanak-Kanak mereka sendiri dengan mandat khusus berdasarkan acuan tempatan dalam negara mereka.

Terdapat negara yang jumlah kanak-kanaknya jauh lebih sedikit berbanding Malaysia seperti New Zealand dan Australia, tetapi mereka mempunyai pelbagai badan pemantauan hak kanak-kanak di peringkat kebangsaan dan negeri kerana isu kanak-kanak merupakan antara isu terpenting negara mereka.

Malaysia menyambut Hari Malaysia yang ke 60 hari ini. Sudah tiba masanya penubuhan Suruhanjaya Kanak-kanak sebagai satu hadiah khusus untuk kanak-kanak di Malaysia direalisasikan.

Suruhanjaya Kanak-kanak yang dihasratkan dengan fungsi dan mandat yang termaktub dalam satu akta khusus, akan menjadi satu-satunya badan yang bertanggungjawab memperjuangkan hak kanak-kanak, khususnya kanak-kanak golongan rentan termasuk kurang upaya dan tinggal di pedalaman Sabah dan Sarawak.

Oleh itu OCC merayu agar hadiah untuk semua kanak-kanak ini benar-benar menjadi kenyataan sempena Hari Malaysia yang amat dinantikan ini.


DR FARAH NINI DUSUKI ialah Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.