Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

SURAT l Ayuh Fahmi bangkit dan dayung, usah karam di lautan

SURAT l Selepas keputusan Pilihan Raya Negeri PRN, Sabtu lalu, Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil adalah antara menteri kabinet yang menjadi sasaran kritikan kerana dianggap gagal dalam memainkan peranan bagi membantu pihak pemerintah.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim didesak melihat semula kedudukan menteri kabinet termasuk kedudukan Fahmi yang mula tidak disenangi sejak hari pertama beliau menjejak kaki ke KKD.

Beliau menjadi bahan gelak ketawa malah dilihat tidak cocok untuk berada di situ.

Atas pemerhatian ini maka Fahmi menerima tekanan hebat dari penyokong kerajaan yang mahukan beliau melakukan lebih dari itu.

Waktu Saifuddin Abdullah menjadi menteri, doa yang dibaca Muhyiddin berkumandang setiap masa walaupun dikritik netizen. Ia satu kejayaan dari sudut publisiti kerana Saifuddin “menjual” kelebihan Muhyiddin yang menjadi perdana menteri waktu itu.

Mungkin juga, Fahmi sebenarnya terperangkap dalam banyak situasi antara kehendak penyokong tegar parti dan tanggungjawab sebagai menteri kerajaan perpaduan serta tuntutan orang media iaitu kebebasan akhbar.

Dari kacamata saya, terlihat separti tiada program mendekati rakyat yang berjaya. Tiada usaha turun ke akar umbi menjelaskan produk kejayaan kerajaan perpaduan atau Madani yang seringkali diperjuangkan oleh Anwar.

Tidak ada usaha yang berkesan untuk “menjual” produk ini sehingga Anwar dilihat keseorangan menerangkan matlamat dan kejayaan kerajaan Madani. Soalnya, gagal sangatkah Fahmi atau masih ada ruang untuk diperbaiki atau beliau wajar diganti segera jika berlaku perubahan kabinet?

Saya tidak berupaya memberi jawapan itu.

Cuma Fahmi perlu bekerja “lebih masa” dan harus mempunyai penasihat yang memiliki latar belakang media cetak dan elektronik untuk membantu beliau menjayakan misi kerajaan.

Ya betul, media harus bebas bersuara namun jika terus dibiarkan tanpa pertahanan yang baik,maka segalanya akan berakhir dengan kegagalan.

Saluran media sosial sejak akhir akhir ini memperhebatkan kritikan yang datangnya dari pelbagai pihak termasuk pendokong parti pemerintah dan Fahmi serta pasukannya termasuk Ketua Pengarah Penyiaran RTM Suhaimi Sulaiman turut menerima tempias.

Apa tafsiran gagal yang dimaksudkan dan apa kejayaan yang dimahukan kalangan penyokong kerajaan perpaduan ini masih kabur. Mungkin jika PH-BN menang cemerlang dalam PRN lalu, Fahmi dianggap berjaya.

Ia tidak jelas namun mahu tidak mahu kita kena akur Fahmi seperti tidak berjaya berbanding beberapa menteri komunikasi terdahulu. Jangan hendak dibandingkan dengan Allahyarham Mohamed Rahmat, menteri penerangan atau komunikasi selepas itupun gagal menyainginya.

Gagal kata mereka malah pelbagai gelaran lain menghiasi ruang muka buku dan video di TikTok.

Selain Fahmi di KKD, Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) juga turut menjadi sasaran. Semuanya terkait atas keputusan PRN enam negeri. Dr Mohammad Agus Yusoff turut didesak berundur dari jawatan ketua pengarah J-KOM.

Dari pemerhatian saya, Fahmi selaku menteri dilihat kurang proaktif dan tidak memiliki ide serta strategi yang lebih menonjol dan berkesan.

Kebiasaannya sejak Umno BN menjadi kerajaan sebelum ini, RTM dianggap saluran yang digunakan untuk memberi maklumat dan menyebar luaskan kejayaan kerajaan.

Namun ini jelas kurang dititik beratkan malah boleh dianggap terlalu kurang kreativitinya.

KKD di bawah teraju Fahmi harus memainkan peranan menyampai dan menyebar luaskan maklumat rasmi kerajaan, menangani, membanteras penyebaran berita palsu, fitnah, khianat, perkauman dan khabar angin.

Membanteras penyebaran media akhbar serta media massa yang tidak sah dan dipercayai palsu. Cabaran ini bukan mudah kerana ia memerlukan pasukan yang kuat dan bertenaga.

Sejak memulakan tugas sebagai menteri pada tanggal 5 Disember 2022 keupayaan Fahmi seolah-olah diragui kemampuannya dan dipersoalkan secara terangan.

Di bahu Fahmi berat terpikul pelbagai isu termasuklah tumpuan untuk akses internet roll out 5G dan capaian luar bandar serta keselamatanm data peribadi bagi menangani penipuan dalam talian (scam).

Dan mungkin kerana peranannya sebagai ketua penerangan PKR yang mengetuai propaganda parti,l antang mempertahankan Anwar maka ia terpilih ke situ. Walaupun hakikatnya ia bukan syarat memandangkan KKD adalah kementerian yang sepatutnya diterajui oleh mereka yang senior dan memiliki kepakaran dalam industri media.

Bukan menjadi kesalahan untuk Fahmi di situ cuma ia memerlukan kesungguhan dan cambahan ide baru.

Harapan amat besar bahawa Fahmi akan melakukan lebih baik daripada apa yang pernah dibuat rakannya Gobind Singh Deo sewaktu menjadi menteri pada 2018. Gobind pada waktu itu dilihat lebih menumpukan kepada kebebasan media mengikut hasrat manifesto Pakatan Harapan. Namun ia turut mendapat kritikan ketika itu.

Namun, hari ini, rakyat belum nampak apa- apa impak signifikan yang dilakukan Fahmi dan kerajaan perpaduan setakat ini.

Fahmi perlu bingkas dengan idea luar biasa.

Ayuh Fahmi terus dayung dan jangan karam di tengah lautan kerana ombak besar sedang melanda.


DAHLAN MAAMOR adalah pemerhati politik yang juga adalah bekas setiausaha akhbar Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Rais Yatim.

Surat ini pandangan peribadi penulis serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.