Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

SURAT | Kriteria seorang MB - Panduan untuk pengundi di Kedah

Kami dengan ini menyenaraikan sejumlah ciri dan kriteria yang pengundi PRN Kedah perlukan sebagai panduan untuk membuat pilihan.

Kami berpendirian Kedah memerlukan menteri besar yang berilmu, berakhlak, berwibawa, berhemah dan bijaksana.

Kami mahukan seorang menteri besar Kedah yang memilikki sahsiah yang unggul dan menjadi teladan kepada semua.

Ciri berikut menjadi pilihan rakyat:

1. Berakhlak tinggi dalam semua sisi dan bersikap tawaduk ketika berinteraksi dengan semua pihak.

2. Berilmu dan berwawasan jauh. Memiliki ilmu Islam yang kuat dan berfikrah Islam yang jelas.

3 . Beradab dalam pertuturan. Tidak kasar dan menggunakan kata-kata tidak berakhlak dalam berhujah.

4 Tidak emosi dan ego ketika berbicara.Tidak bersuara keras dan mendabik dada dengan angkuh dan bongkak.

5. Jujur dalam berbicara dan keras terhadap budaya fitnah. Menegur pengikut yang menyebar fitnah dan mencetuskan perbalahan tanpa fakta.

6. Tidak merendahkan dan mencemuh orang lain, apatah lagi mengecam lawan politik dengan cara biadab.

7. Jauh daripada mempersenda orang lain dan sangat santun bila berhujah.

8. Tidak provokatif dalam membalas hujah pihak lawan berhubung isu yang menjadi perdebatan umum.

9. Tidak berpolitik berlebihan dalam semua isu. Menjaga sensitiviti antara agama, kaum dan menjauhi daripadamenyentuh kedudukan Raja-raja Melayu.

10. Mengutamakan ilmu dan hormat kepada para ilmuan. Tidak merendahkan pandangan golongan ilmuan walaupun tidak selari dengan pandangan sendiri.

11. Menjadi teladan dalam gaya hidup. Tidak mempamerkan kemewahan dan menonjolkan kedudukan.

12. Santun dan tidak menunjuk-nunjuk ketika menbantu rakyat daif. Mendahului keselesaan rakyat berbanding keistimewaan diri.

Kami mahukan menteri besar Kedah yang memiliki wibawa kepimpinan yang tinggi seperti berikut:

1. Mempunyai pengalaman dan kemahiran tinggi dalam urusan dan tata kelola kerajaan.

2. Meraikan teguran dan kritikan dan membuka seluas peluang kepada cadangan.

3. Tidak bersindrom penafian bila dikritik.

4. Mahir dalam mentadbir negeri secara makro dan mikro.

5. Memiliki keupayaan mengurus ekonomi yang mampan dan mampu merangka model pengurusan ekonomi yang kreatif dan dinamik.

6. Mahir berkomunikasi dengan semua pihak dan bersikap terbuka kepada kritikan pihak lain.

7. Tidak retorik dan angkuh dalam mengenengahkan gagasan.

8. Mampu mengembleng dan menarik kepakaran orang lain dari dalam dan luar negeri.

9. Tidak berkompromi dalam menangani rasuah, salah urus dan salah guna kuasa.

Kami mengidamkan menteri besar Kedah yang bersama kerajaan pusat dan semua negeri berjiran untuk membangunkan negeri secara bersinergi.

Dengan itu kami mahukan menteri besar Kedah yang memiliki sikap dan kemahiran untuk membina jalinan kerjasama dengan hal berikut:

1. Mahir berunding dan bekerjasama dengan kerajaan pusat dan negeri berjiran.

2. Tahu keutamaan dan bijak bersinergi.

3. Tidak keras dalam menuntut tetapi berhikmah dalam meraih manfaat.

4. Memahami dan hormat ketika berunding dengan kerajaan pusat dan agensi yang berkaitan.

5. Tidak angkuh dan sombong berunding dengan negeri jiran.

6. Selalu menggunakan pendekatan menang-menang untuk manfaat Kedah dan sedia menghulur bantuan kepada negeri jiran.

7. Bersedia belajar dari kerajaan negeri jiran dan bersikap rendah diri untuk mengambil manfaat dari pengalaman negeri jiran.

8. Bersedia bekerjasama dengan semua negeri untuk mendapat model terbaik dalam urus kelola dan pentadbiran negeri.

9. Bersikap inklusif dan tidak diskriminatif dengan pihak lain yang bukan dari parti sendiri.

10. Sensitif dengan semua kepentingan antara kaum dan agama dan mengutamakan keharmonian di kalangan rakyat.

Kami inginkan menteri besar Kedah yang memiliki jiwa rakyat yang tulen iaitu:

1. Santun dan beradab ketika menangani masalah rakyat.

2. Tahu keutamaan rakyat.

3. Hidup sederhana bersama rakyat.

4. Sanggup susah bersama rakyat.

5 Tidak mengherdik terhadap tuntutan rakyat walaupun tuntutan yang kecil

6. Sensitif dengan aduan rakyat dan wujudkan mekanisme tindakan pantas bagi menyelesaikannya.

7. Mengutamakan kepentingan rakyat berbanding kepentingan korporat.

8. Tidak ghairah menggunakan media sosial dalam menyantuni aduan rakyat.

9. Sedia dan kerap turun padang untuk bersemuka dengan rakyat.

Kami mahukan menteri besar Kedah yang mampu memberi keutamaan kepada isu berikut:

1 Fokus Kedah sebagai Jelapang Padi dan pertingkatkan daya pengeluaran padi.

2. Tumpu membantu petani, nelayan, pekebun, peneroka Felda dan usahawan kecil di Kedah.

3 Tumpu kepada mempertingkat kemampuan rakyat dalam membangun upaya hidup berdikari.

4. Selesaikan isu bekalan air secara tuntas dan tidak berdalih dan beralasan untuk menutup kelemahan pengurusan air negeri.

5. Bekerjasama dengan agensi kerajaan pusat untuk atasi isu rakyat termiskin dan sediakan infrastruktur yang mencukupi.

6. Bangunkan kepakaran tempatan untuk bangunkan Kedah menggunakan sumber dalaman.

7. Tangani isu eksploitasi kawasan tadahan air negeri dan tegas dengan pembalakan haram.

8. Pastikan semua agensi negeri memberi khidmat terbaik kepada negeri.

9. Tangani isu tanah rizab Melayu.

10. Tangani gejala sosial seperti dadah, jenayah, keganasan domestik, mat rempit, buang bayi, penceraian, pornografi, pelacuran.

11. Tangani isu keterjaminan makanan dan isu kos sara hidup di Kedah.

12 Tangani isu perumahan rakyat berpendapatan rendah.

13. Santuni isu pengangguran dan peluang pekerjaan.

14. Semak prasarana awam yang tidak mencukupi dan tidak berfungsi dengan sempurna.


MOHD AZMI ABDUL HAMID adalah presiden Teras Pengupayaan Melayu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.