SURAT | Lima sebab kenapa rakyat Sungai Pelek perlu sokong PH-BN
Saya akan berikan lima sebab mengapa rakyat Sungai Pelek perlu bukan sahaja setakat mengundi, tetapi juga berkempen untuk gabungan Pakatan Harapan–Barisan Nasional dalam enam pilihan raya negeri pada 12 Ogos ini.
Pertama, Lwi Kian Keong adalah seorang calon tempatan, dia adalah ketua kampung dan ahli majlis di sini sebelum ini. Dia faham semua masalah tempatan dan boleh menjadi wakil yang baik untuk menyelesaikan semua masalah-masalah di Sungai Pelek.
Tambahan lagi, Kian Keong boleh memastikan yang Sungai Pelek mendapat manfaat sepenuhnya dari Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang telah diumumkan oleh calon Menteri Besar, Amirudin Shari, baru-baru ini, dan daya saing Sepang boleh mencapai tahap yang baharu dengan lebih banyak langkah strategik yang dapat menjana pertumbuhan ekonomi, terutamanya dalam sektor industri, perkhidmatan logistik dan pergudangan, pelancongan, pendidikan, dan pertanian.
Kedua, pemilihan Kian Keong sebagai Adun untuk Sungai Pelek akan memastikan yang gabungan PH-BN akan dapat terus mentadbir Selangor untuk lima tahun yang akan datang.
Perikatan Nasional (PN) menyasarkan kemenangan 6-0 dalam enam pilihan raya negeri ini. Sekiranya PN yang dibentuk PAS dan Bersatu menumbangkan kerajaan gabungan PH–BN di Selangor, masa hadapan untuk Selangor dalam lima tahun yang akan datang akan menjadi suram.
Rakyat Malaysia mahu Kelantan, Terengganu, dan Kedah (antara negeri termiskin di Malaysia selepas enam dekad) untuk menjadi seperti Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan (yang merupakan antara negeri terkaya di Malaysia) dan bukannya melihat Selangor menerima nasib seperti Kelantan, Terengganu, dan Kedah.
Ketiga, untuk mengukuhkan kerajaan perpaduan Anwar di peringkat persekutuan. Apa-apa pun yang terjadi dalam enam pilihan raya negeri pada 12 Ogos ini, kerajaan perpaduan Anwar di peringkat kebangsaan tidak akan tergugat memandangkan ahli-ahli parlimen kini dihalang dari melompat parti.
Tetapi, kemenangan majoriti dua-pertiga untuk gabungan PH-BN di Selangor, dan juga Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, akan mengukuhkan usaha untuk kerajaan perpaduan Anwar melaksanakan program ekonomi Madani supaya Malaysia dapat bangkit semula dan menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia.
Sekiranya gabungan PH-BN mencatatkan prestasi yang buruk dalam enam pilihan raya negeri ini, kerajaan perpaduan Anwar tidak akan tumbang, tetapi perkara ini akan memberikan kesan kepada skop keluasan dan jangka masa usaha reformasi dalam rancangan Ekonomi Madani yang dirangka dengan harapan untuk memastikan Malaysia mencapai beberapa objektif seperti berikut:
- Menjadi antara 30 ekonomi terbesar dunia dari segi kadar keluaran dalam negara kasar. Malaysia buat masa ini berada di tempat ke-35.
- Berada dalam kedudukan 12 teratas dalam Indeks Daya Saing Dunia IMD. Kita sedang berada di tempat ke-27.
- Tempat 25 ke atas dalam Indeks Pembangunan Manusia PBB. Tempat semasa adalah ke-62.
- Tempat 25 ke atas dalam Indeks Persepsi Rasuah. Tempat semasa adalah ke-61.
Dalam beberapa dekad yang lepas, Malaysia telah menyaksikan kemerosotan, ditinggalkan di belakang Singapura, Taiwan, Korea Selatan, Hong Kong, dan Vietnam.
Kita kini berada dalam bahaya ditinggalkan di belakang China, Indonesia dan India pula dalam masa terdekat ini.
PAS dan Bersatu dalam PN tidak mempunyai apa-apa rancangan untuk membangkitkan semula Malaysia menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia, sebaliknya, hanya ada dasar yang akan menjadikan Malaysia sebuah negara yang berpecah belah, gagal dan korup.
Keempat, kita mesti mengundi bukan hanya untuk lima tahun yang akan datang, tetapi untuk jangka masa panjang, 20 ke 30 tahun yang akan datang, demi masa hadapan anak-anak dan cucu-cucu kita.
Dalam hayat seseorang, mungkin ada beberapa peluang di mana dia dapat bangkit semula untuk menjadi seorang insan yang berjaya. Tetapi dalam jangka hayat sesebuah negara, biasanya hanya ada satu peluang untuk kita hentikan kemerosotan yang disaksikan dalam beberapa dekad yang lepas untuk bangkit semula menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia.
Malaysia sedang berada dalam kedudukan ini sekarang.
Kita tidak mahu terjadinya diaspora Malaysia yang kedua. Dalam diaspora Malaysia yang pertama, kira-kira dua juta rakyat Malaysia berpindah ke seluruh dunia dan telah menjadikan negara lain yang hebat.
Salah satu negara ini adalah Singapura yang kini merupakan sebuah negara hebat berkat usaha rakyat Malaysia yang telah berpindah ke sana. Kita mahu rakyat Malaysia kekal di Malaysia untuk menjadikan Malaysia hebat.
Tidak ada kebencian di antara kaum dan agama, serta tidak ada mana-mana kaum atau agama yang mahu menghapuskan mana-mana kaum atau agama yang lain, tetapi ada oportunis politik yang cuba untuk melaga-lagakan di antara satu kaum dengan kaum yang lain dan satu agama dengan agama yang lain.
Malaysia hanya boleh berjaya sekiranya semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, kawasan, jantina, atau umur dapat bersatu padu untuk mencapai potensi penuh kita semua.
Kita mahu anak-anak dan cucu-cucu kita untuk tinggal di sini, bekerja di sini dan hidup di sini kerana Malaysia telah bangkit semula sebagai sebuah negara hebat bertaraf dunia.
Kelima, untuk menyelamatkan Malaysia. Kita tidak mahu Malaysia menjadi satu kegagalan antarabangsa, sebaliknya kita mahu Malaysia menjadi contoh dialog, persefahaman, toleransi dan keharmonian antara etnik, agama, budaya dan tamadun kepada dunia yang progresif dan makmur.
Ada pepatah Cina yang mengatakan: "Dalam kebangkitan dan kejatuhan sesebuah negara, semua orang bertanggungjawab."
Kita perlu menjadi seorang rakyat Malaysia yang patriotik.
Kita tidak boleh hanya mengundi sahaja dalam pilihan raya pada 12 Ogos ini, kita juga perlu menasihati sanak saudara dan rakan-rakan kita untuk pulang mengundi dari luar kawasan dan luar negara.
Setiap rakyat Malaysia di Sungai Pelek, Selangor, dan Malaysia perlu bekerjasama menjadi petugas pilihan raya untuk memastikan adanya kadar keluar mengundi tertinggi dalam enam pilihan raya negeri pada 12 Ogos ini untuk kita bersama menghentikan kemerosotan negara dan selamatkan Malaysia.
LIM KIT SIANG ialah veteran DAP.
Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai