SURAT | Monopoli masih jadi dasar Malaysia Madani?
Pada awal pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Anwar Ibrahim, dia menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dalam isu monopoli kerana ia merugi dan menindas rakyat demi keuntungan.
Isu monopoli beras oleh Bernas dimainkan dan kerajaan kelihatan benar-benar serius dalam memerangi monopoli.
Kementerian Pengangkutan juga menyahut seruan perdana menteri dan mengumumkan monopoli perlu untuk pemeriksaan kenderaan oleh Puspakom akan ditamatkan.
Sistem pembayaran di lebuh raya juga dipelbagai–menamatkan dominasi Touch ‘n Go dalam arena ini.
Semua ini merupakan perkembangan yang positif dalam usaha menyekat kemaraan monopoli di Malaysia.
Namun, akhir-akhir ini, timbul isu berkenaan satu pelan yang diusulkan oleh seorang ahli perniagaan tersohor kepada kerajaan untuk memonopoli industri gula.
Industri gula merupakan satu oligopoli (pasar yang dikuasai beberapa pemain utama) yang dikuasai dua pemain utama iaitu MSM (dikuasai Felda) dan CSR (dikuasai Syed Mokhtar Albukhary).
Isu pengambilalihan ini timbul rentetan masalah kekurangan gula di beberapa buah negeri ketika musim Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.
Jika dalam keadaan pasaran dikuasai duopoli kerajaan sudah berhadapan dengan kekangan, bagaimana pula nanti jika kerajaan membenarkan industri ini menjadi monopoli.
Bukankah ini bertentangan dengan apa yang sering ditegas dan diulang oleh perdana menteri dalam isu menentang monopoli?
Kerajaan perlu konsisten dalam isu monopoli ini kerana ia penting dalam menjamin kredibiliti kerajaan di mata rakyat dan komuniti perniagaan dan pelabur.
Monopoli seharusnya dikurangkan dalam semua sektor ekonomi, dan persaingan perlu digalakkan.
Jika persaingan disekat, yang rugi adalah rakyat. Harga dan pilihan ditentukan oleh syarikat besar, dan hak pengguna dinafikan.
Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) harus mengambil langkah yang tegas dalam memastikan industri gula tidak bergerak ke arah monopoli.
Kerajaan Perpaduan harus bertegas bahawa tiada tempat bagi monopoli dalam Malaysia Madani yang mengutamakan pembangunan inklusif untuk mengangkat kesejahteraan rakyat dan memartabatkan hak rakyat dalam ketamadunan yang progresif.
Monopoli itu bersifat regresif dan tidak sehaluan dengan konsep Malaysia Madani.
Jika Kerajaan Perpaduan tidak bertegas mempertahankan gagasan yang diwar-warkan sendiri, bagaimana rakyat mahu memberi kepercayaan bahawa kerajaan mampu membela nasib rakyat dan bukannya berpihak dengan individu berkepentingan?
Realiti ekonomi pasaran hari ini memerlukan persaingan untuk menambah daya saing ekonomi. Monopoli perlu dikurangkan bukan ditambah.
Jika Kerajaan Perpaduan benar-benar serius memperkukuh ekonomi negara, ini adalah antara perkara yang tidak boleh dikompromi.
RAZALI MOHD RAHIM ialah penduduk Bangi, Selangor.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai