Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Surat terbuka untuk Hamdan Mohamad, presiden dan CEO Ranhill

Assalamualaikum Tan Sri,

ISU BEKALAN AIR DI RENGIT BATU PAHAT

Saya baca dalam Facebook Dr Asyraf Wajidi Dasuki, pengerusi Mara. Pihak Ranhill akan merawat air laut masin untuk selesaikan masalah air di MRSM Langkawi. Baguslah. Saya sokong projek CSR Ranhill.

Di Rengit, penempatan orang asli Kg Bumiputra Dalam sering dilanda masalah bekalan air. Kampung ini juga dekat dengan laut. Apa salahnya kampung itu juga dapat faedah CSR tersebut.

Tetapi sebagai wakil rakyat Rengit saya mahukan penyelesaian isu bekalan air secara menyeluruh untuk kawasan DUN Rengit.

Bukan setakat Kampung Bumiputra Dalam sahaja. Mesti ada penyelesaian jangka pendek dan panjang.

Jangan setiap kali musim perayaan masalah tekanan air rendah, air kecil, air tak ada dan air kuning sentiasa berulang.

Mohd Puad Zarkashi

Tidak lama lagi umat Islam akan menyambut hari raya Aidil Adha. Sudah pasti ramai akan balik kampung. Diharap SAJ (anak syarikat Ranhill) akan buat persiapan plan B lebih rapi.

Tan Sri orang Batu Pahat. Balik kampung Tan Sri. Tengok kampung sendiri. Beritahu staf SAJ/Ranhill jawab telefon. Kongsi maklumat dan beritahu wakil rakyat dan Ketua Kampung sebarang tindakan susulan. Jangan senyap begitu sahaja.

Justeru percepatkan pembinaan tangki air baru yang mampu menyediakan bekalan air empat juta liter sehari. Sediakan plan B yang efektif setiap kali musim perayaan. Minta staf SAJ/Ranhill sentiasa berkomunikasi dengan wakil rakyat untuk menerima aduan dan berkongsi maklumat.

Sekian terima kasih di atas perhatian Tan Sri itu nanti.


MOHD PUAD ZARKASHI ialah anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Rengit.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.