Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

SURAT l Hubungan Umno-DAP, jangan hingga kawan makan kawan

SURAT l Jangan terlalu mengharapkan sesuatu yang luar biasa hasil “perkahwinan politik” antara DAP dan Umno dalam kerajaan perpaduan. Ia ujian yang hebat untuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim memainkan peranan mengawal kedua-duanya.

DAP kena waras menerima politik baharu dan Umno perlu sedar diri selepas kalah teruk dalam beberapa siri pilihan raya sehingga menjadi melukut di tepi gantang dalam kerajaan dan tidak lagi dominan.

Penyatuan dan persefahaman ini memerlukan pengorbanan dan DAP perlu kendur banyak perkara begitu juga dengan Umno. Suhu permusuhan terhahulu harus diturunkan dan kelancangan pemimpin kedua pihak dalam membahaskan isu harus dikawal dan tidak melampau.

Jika ini gagal dikawal, ia akan menjadi rapuh dan mudah patah.

Orang selalu menyebut,tanam tebu ditepi bibir. Kenyataan dan pendirian dalam politik sering berubah dan menjanjikan yang manis saat memerlukan. Selepas itu mereka kembali bercakaran dan penyokong kerap terperangkap dengan bahasa politik mereka.

Umno dan DAP, hubungannya bukan saja masih kabur dan bukan mudah mengajak mereka berdamai dalam keadaan permusuhan yang panjang dan seteru antara keduanya menjadi stigma kepada para penyokong kedua belah pihak.

Sebenar-benarnya, Umno dan DAP tidak wajar menjadi musuh malah mereka bukan menjadi ancaman antara satu sama lain. DAP lebih dikaitkan dengan kawasan bandar dan Umno di luar bandar. Namun kita tidak boleh nafikan bahawa ada beberapa kali Umno dan DAP bertembung antara satu sama lain.

Antaranya pada PRK Camaron Highland dan Parlimen Gelang Patah sewaktu pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang berlawan dengan menteri besar Johor, Ghani Othman.

Sewajarnya DAP dan Umno tidak perlu bercakaran dan bermusuhan kerana wilayah yang direbut bukan membabitkan kedua-dua parti. Sepatutnya yang merasa bimbang adalah MIC dan MCA serta parti parti lain yang menjurus kepada sokongan pengundi bukan Melayu di kawasan bandar.

Umno tidak kena mengena dan tidak sepatutnya memohon secara terbuka kepada pengundi untuk mengundi parti tertentu khususnya DAP yang sudah berada dalam kerajaan perpaduan.

DAP dilihat lebih berpengaruh berbanding MCA mahupun MIC dan keberadaan mereka dalam kerajaan sesungguhnya mewakili suara masyarakat Cina.

Tidak menjadi kesalahan bersahabat dengan DAP kerana kita berpolitik dan mengamalkan semangat perpaduan kaum yang kuat. Dan sesungguhnya kerajaan perpaduan membuktikan 40 kerusi DAP menjadikan kerajaan perpaduan tegap dan tidak goyang.

Saya cuplik tulisan Shahbudin Hussin yang menyebut Bukit Bintang, Cheras, Segambut, Kepong, Seremban, dan Kota Melaka sebagai contoh untuk kerusi Parlimen, sekalipun pengundi Umno tidak menyokong, calon DAP tetap menang.

Jadi jelas, DAP dan Umno tidak perlukan dokongan antara satu sama lain kerana mereka di landasan penyokong yang berbeza.

“Disiplin parti itu memastikan arahan parti dituruti, memanglah undi itu rahsia tetapi gesaan saya ialah bukan (undi) atas nama parti atau DAP tetapi atas nama kerajaan perpaduan”. Ini kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Ahmad Maslan.

Kenyataan Ahmad itu hanya kenyataan politik yang mengambil kira dan mahu menjaga “perasaan” seorang sahabat yang baru mereka kenali dan mengharapkan ihsan pengundi DAP untuk calon-calon Umno kelak.

Umno yang lebih menagih simpati dan mahu mengaut keuntungan politik jika pengundi DAP memberikan sokongan kepada calon Umno kelak. Sementara DAP tidak perlu mengharapkan apa-apa. Kalau pun ucapan balas daripada pemimpin DAP ia hanya untuk turut menjaga persahabatan dalam kerajaan perpaduan.

Adalah diharapkan sikap ekstrim kedua-dua pihak harus dikawal kerana politik negara sudah berubah dan politik baharu menuntut kita jangan mengeluarkan kenyataan keterlaluan kerana hari ini lawan, esok kita menjadi kawan.

Lebih banyak berkawan dalam politik ia lebih bagus namun kerap kita temui, kawan makan kawan dalam politik. Semoga ia tidak lagi berlaku dan rakyat menjadi mudah dan senang untuk meraih rezeki dan kebajikan mereka terbela.

Melayu dan Cina serta India perlu bersatu menjayakan semangat perpaduan sejati. Bukan pura-pura dan bukan bermusim.

DAP dan Umno makin nampak terbuka dan diharapkan ianya bukan sementara. Dan diakui, bukan sesuatu yang mudah untuk ahli Umno menerima DAP dan begitu juga sebaliknya.

Kita akur, DAP lebih nampak terbuka dan tenang selepas Anthony Loke menjadi setiausaha agung DAP. Ia amat berbeza cara dan pendekatan namun meraih sokongan dengan cepat dan segera saya fikir ia bukan kerja mudah kerana berpuluh tahun rasa bencikan DAP ditanam dan dibajai sehingga parti itu dianggap musuh Melayu.

Kenyataan Loke sebelum ini wajar diperhalusi.

“Memang betul sokongan kita banyak daripada pengundi Cina. Tapi perlembagaan kita tak nafikan penyertaan Melayu. Jika satu hari nanti lebih rama Melayu berbanding Cina dalam DAP, biarlah ia terjadi, apa masalahnya?”


DAHLAN MAAMOR adalah pemerhati dan wartawan politik. Dia pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Surat ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.