Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

SURAT | Hormatilah keputusan mahkamah dengan hati dan minda terbuka 

Semua pihak harus menerima keputusan pihak Mahkamah Persekutuan yang telah menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak untuk mendapatkan kebenaran bagi menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. 

Susulan itu, keputusan yang dibuat pada 23 Ogos tahun lalu oleh panel hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, yang mengekalkan sabitan bersalah, hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib, adalah kekal. 

Ini bermakna bekas perdana menteri itu kekal di Penjara Kajang dan pilihan terakhirnya untuk dibebaskan ialah menerusi pengampunan diraja daripada DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA). 

Sudah pasti keputusan pihak Mahkamah Persekutuan ini dilakukan selepas mengambil kira segala bahan bukti atau keterangan, prosedur perbicaraan yang telah dilakukan serta penghujahan yang telah dikemukakan oleh pihak-pihak yang berkaitan dengan kes terbabit di peringkat Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan sebelum ini. 

Adalah amat tidak wajar sekiranya mana-mana pihak terus mempertikaikan keputusan Mahkamah Persekutuan yang terbaru ini kerana ia boleh menjejaskan kredibiliti dan kewibawaan sistem and institusi kehakiman negara kita. 

Melalui keputusan terbaru dari Mahkamah Persekutuan ini, semua pihak harus menerima hakikat dengan hati dan minda yang terbuka serta menghormati keputusan yang telah dibuat oleh pihak mahkamah dalam negara kita. 

Sudah pasti segala keputusan yang dibuat oleh pihak mahkamah sama ada di peringkat Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan ataupun Mahkamah Persekutuan adalah berdasarkan peruntukan undang-undang dan proses atau prosedur yang telah lama wujud dalam negara kita yang telah dirangka berpandukan Perlembagaan Persekutuan. 

Seperti yang telah disangka, keputusan Mahkamah Persekutuan ini telah mula menerima pelbagai reaksi pelbagai pihak baik dari dalam negara mahupun dari luar negara kerana kes terbabit melibatkan salah seorang individu penting dalam negara kita. 

Seperti yang diketahui, Mohd Najib merupakan bekas perdana menteri yang keenam. Beliau telah memimpin negara ini dari tahun 2009 sehingga tahun 2018 apabila beliau dan parti politik yang diterajui oleh beliau kalah pada proses pilihan raya umum yang ke- 14 (PRU14) pada tahun 2018 yang lalu. 

Maka tidak hairanlah, pelbagai reaksi telah diberikan oleh ramai pihak.

Apa jua reaksi yang diberikan, adalah penting bagi semua pihak untuk bertenang serta menghormati keputusan yang dibuat oleh pihak mahkamah bagi terus menjamin kestabilan serta keyakinan masyarakat terhadap institusi undang-undang serta kehakiman yang ada dalam negara kita. 

Sudah pasti sebarang keputusan yang dibuat oleh pihak mahkamah dalam negara kita dibuat berdasarkan bukti-bukti serta bahan keterangan yang kuat, relevan dan boleh dipercayai bagi menyokong sesuatu proses pendakwaan di mahkamah. 

Ini juga dikuatkan lagi dengan segala proses penghujahan yang telah dilakukan oleh pihak peguam yang profesional, berpengalaman dan pakar dengan bidang masing – masing di dalam kes perbicaraan berkenaan. 

Di Malaysia, kita memiliki Kanun Tatacara Jenayah atau Kanun Prosedur Jenayah atau lebih dikenali sebagai Akta 593.

 Ia adalah adalah suatu peruntukan perundangan yang menjadi panduan utama dalam kes-kes perbicaraan jenayah dalam negara kita. 

Segala proses perbicaraan jenayah yang dilakukan adalah berpandukan peruntukan perundangan ini. 

Prosedur perundangan jenayah akan bermula daripada pelaporan mengenai sesuatu kejadian jenayah kepada pihak polis, proses penyiasatan oleh pihak polis akan dilakukan dan kemudiannya proses perbicaraan di mahkamah akan diadakan sehingga pelaku jenayah dihukum dengan setimpalnya atas perbuatan mereka. Walaupun bilangan kes dihadapkan ke mahkamah semakin hari semakin meningkat namun bukan semua daripada kes-kes jenayah ini akan berakhir dengan sabitan. 

Tertuduh mungkin akan disabitkan dengan kesalahan dan menerima hukuman yang telah ditetapkan oleh undang-undang dalam negara kita. 

Terdapat juga kes tertuduh akan dilepaskan kerana tidak terdapat bukti yang cukup, relevan serta menyakinkan bagi mencapai standard atau tahap pembuktian yang diperlukan dalam sesebuah kes jenayah. 

Dari segi undang-undang hanya terdapat dua standard atau tahap pembuktian, iaitu melampaui keraguan munasabah untuk kes-kes jenayah dan melampaui imbangan kebarangkalian untuk kes-kes sivil. 

Kewujudan dua standard dan tahap pembuktian ini dapat dilihat melalui banyak kes mahkamah pada masa lalu yang menjadi rujukan oleh pengamal undang-undang seperti kes Sinnaiyah & Sons Sdn Bhd v Damai Setia Sdn Bhd [2015] 5 MLJ 1, Public Prosecutor v Yuvaraj [1970] 2 WLR 226, Bater v Bater (1951) P 35 dan Miller v Minister of Pensions [1947] 2 All ER 372.

Sekiranya, pihak yang telah didapati bersalah tidak berpuas hati terhadap keputusan yang telah ditetapkan, undang-undang negara kita juga membenarkan mereka untuk untuk membuat proses rayuan di peringkat mahkamah yang seterusnya. Dalam negara kita, mana-mana pihak yang ingin mengemukakan rayuan boleh merayu ke Mahkamah Rayuan sampai ke Mahkamah Persekutuan iaitu mahkamah tertinggi sekali dalam negara kita. Pihak yang terlibat juga boleh melakukan proses semakan kehakiman dan berusaha untuk mendapatkan pengampunan diraja. Institusi kehakiman merupakan salah satu institusi yang penting dalam sesebuah negara yang mengamalkan prinsip demokrasi termasuklah Malaysia. Fungsi mahkamah adalah untuk menegakkan keadilan untuk semua pihak. Bagi memastikan sistem kehakiman berjalan dengan baik, institusi mahkamah akan memastikan proses keadilan berjalan dengan saksama berlandaskan undang-undang sedia wujud dalam negara kita tanpa mengira siapa juga yang diadili. Oleh yang demikian, adalah penting untuk semua pihak memberi kepercayaan serta sokongan penuh kepada institusi kehakiman dan yang paling penting menghormati institusi kehakiman itu sendiri. Sebarang ketidakpuasaan terhadap sesuatu keputusan atau perkara bolehlah disalurkan melalui proses serta peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan dalam negara kita.


DR MUZAFFAR SYAH MALLOW ialah profesor Madya di Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.