Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

SURAT | Nasihat buat pimpinan PAS

Hujah Presiden PAS Abdul Hadi Awang bahawa Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) merupakan umpan DAP untuk memancing undi belia Melayu menimbulkan seribu satu kesangsian.

Beberapa persoalan fundamental yang ingin dibangkitkan di sini adalah apakah sebenarnya yang PAS mahu? Dan sampai bilakah mentera anti-DAP hendak diperdagangkan kepada orang Melayu Islam terutama sekali pengundi muda?

Adakah PAS ingin menjatuhkan DAP semata-mata atau ingin memenangi PRN Johor? Jika DAP dan PAS tewas, adakah boleh dianggap PAS sudah mencapai objektifnya?

Oleh itu terdapat kebenaran daripada apa yang pernah diungkap tokoh fizik tersohor Albert Einstein bahawa politik itu lebih sukar daripada fizik. Jikal pemikiran dan gelagat politik itu bersifat setara nescaya masyarakat berupaya untuk mengecapi keharmonian hidup. Malang sekali kedua-duanya seperti jauh panggang dari api.  

Jika mentera anti-DAP dilihat sebagai satu komoditi yang akan melariskan penjenamaan parti merekadalam skala yang besar, maka PAS ternyata silap.

Ini juga sama sekali tidak mencerminkan semangat Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang kerap kali dilaungkan PAS. Pada hakikatnya minda kepartian masih lagi di takuk pemikiran pasca-kolonial yang menyemai benih kebencian antara satu sama lain dalam kerangka masyarakat yang plural.

Saya berpendapat bahawa di saat sebahagian besar rakyat sedang bergelut dengan ketidakstabilan sosioekonomi, maka amat tidak wajar untuk disajikan kepada mereka dengan retorik yang dilihat masih tidak mempunyai asas yang kukuh.

Jika parti DAP masih lagi dilabel dengan jolokan seperti anti-Melayu/Islam, anti-Raja-raja dan sebagainya, masakan Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong mendapat perkenan untuk menghadap Tengku Mahkota Johor (TMJ) baru-baru ini. Secara tidak langsung ini mempamerkan satu perkembangan sihat, di mana pihak Istana meraikan politik yang bersifat rentas parti.

Oleh itu, titik noktah perlulah disematkan dengan kadar segera. Sampai bila mahu menutup kelemahan sendiri dengan menyerang pihak lain. Sedangkan pada waktu ini, PAS juga kurang kritikal terhadap beberapa isu yang berbangkit dan jelas berbeza sekali sewaktu menjadi pembangkang sebelum tercetusnya Langkah Sheraton. 

Cukup-cukuplah dengan sajian menu anti-DAP ini. Alangkah bagusnya jika PAS mampu berbahas mengenai hala tuju ekonomi, sosial dan politik di negara ini dan menerangkan kepada rakyat mengenai perancangan masa hadapan yang boleh dilakukan oleh PAS di atas kapasiti sebagai sebahagian daripada parti pemerintah.

Mungkin juga PAS boleh mengotakan beberapa janji yang pernah diperjuangkan sewaktu menjadi blok pembangkang di bawah pentadbiran PH selama 22 bulan. Atau bertindak dengan drastik untuk memprojekkan agenda memperkasakan Islam dengan menekan Parlimen untuk memberikan laluan bagi membahaskan RUU355.

Medan sudah ada di depan mata dan saya percaya PAS sudah tidak memerlukan Padang Merbok untuk membahaskan RUU355, bukan?

Ironinya apabila sudah berjaya berada di koridor kuasa, lain pula hujah yang kedengaran, seperti “masih terlalu awal untuk tentukan”, “jangan tanya bila nak buat hudud” dan “dulu berapi-api sebab kita pembangkang”.

Kita boleh bayangkan jika pentadbiran PH ditanya mengenai prestasi manifesto dan mereka memberikan jawapan sama seperti yang disajikan PAS, adakah PAS akan menerimanya dengan jiwa yang besar?

Ternyata justifikasi sedemikian jelas membantutkan akal pemikiran orang ramai kerana kunci kepada politik kebenaran itu seolah-olah hanya boleh ditafsir sesuka hati mengikut kesesuaian mereka. Maka tidak hairanlah konsep seperti penunggang itu sering kali berlegar.    

Sebelum ini juga kita pernah terdengar akan ngauman puitis seperti “sebuah kesepakatan yang membuat malaikat di langit melaungkan Takbir sehingga bergema ke seluruh penjuru alam”. Tetapi apa sudah jadi pada hari ini? Realiti di lapangan ternyata berbeza sekali.

Seperti yang boleh dilihat sewaktu PRN Melaka dan menjelang PRN Johor, ia tidak mencerminkan kesepaduan politik sesama ahli di dalam Muafakat Nasional (MN) bersama Umno. Jika sesama mereka di dalam MN sudah mula berbalah dan membuka aib politik masing-masing, maka tidak syak lagi bahawa yang ingin dipertahankan dan ditegakkan adalah keberahian kuasa politik dan bukan pertalian politik saudara seagama.

Akhir kata, banyak lagi alasan yang boleh direka khusus untuk menutup kelemahan prestasi pentadbiran selain daripada mentera anti-DAP yang dijaja sepanjang masa. Adakah negara ini boleh diselamatkan dengan hanya melorongkan DAP jalan keluar daripada landskap politik tanah air?  


DR ARIFF AIZUDDIN AZLAN adalah felo penyelidik di Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.