Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

SURAT | Realisasikan pemerkasaan TVET di Malaysia

Pembentangan Belanjawan 2023 menarik perhatian saya kerana buat pertama kali, saya melihat satu usaha kerajaan yang amat berdedikasi untuk memperkasakan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) demi menampung keperluan industri utama di Malaysia.

Penekanan TVET dalam pembentangan Belanjawan 2023 membuktikan kerajaan kini berada di landasan tepat memperkasa sektor penting buat negara dalam jangka masa sederhana dan panjang bagi memastikan negara terus berdaya saing dengan negara yang sedang meningkat ekonomi seperti Vietnam, Filipina dan Indonesia.

Kerajaan mengambil pendekatan yang luar biasa kali ini dalam TVET dengan membenarkan lebih daripada 50 konglemerat pemain industri utama untuk mengambil alih sebahagian operasi institusi TVET, melalui kolaborasi dengan institusi TVET seperti kolej komuniti, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) untuk menyediakan program khusus bagi memenuhi keperluan industri.

Misalnya, DRB-HICOM yang menerajui industri pembuatan automotif akan memastikan pelatih TVET yang berkemahiran dapat dihasilkan dari insitusi-institusi latihan sedia ada.

Begitu juga dengan Petronas, MRCB dan Kumpulan Sunway, masing-masing menerajui industri minyak dan gas, pembinaan dan perhotelan. Pada masa sama, Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) turut diberi suntikan peruntukan besar untuk manfaatkan lebih 8,000 pelatih.

Inspirasi ini datang dari model rintis kerajaan PH Pulau Pinang yang sejak 2008 telah mengutamakan TVET dengan kerjasama dengan pihak swasta.

Cabaran TVET di Malaysia

Pembangunan ekonomi yang pesat berkembang pada tahun 1980-an telah mendorong kerajaan untuk menubuhkan Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) di bawah Kementerian Sumber Manusia, khusus untuk menyelaras sistem latihan kemahiran vokasional. MLVK dijenama semula sebagai Jabatan Pembangunan Kemahiran pada tahun 2006, dengan hala tuju lebih spesifik untuk menaikkan piawaian kemahiran SPSK (Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan).

Tahun 1990-an dan 2000-an melihat perkembangan institusi-institusi latihan kerajaan yang menawarkan pelbagai kursus vokasional seperti IKBN, Kolej Komuniti, politeknik, dan ILP. Institusi-institusi ini menawarkan kursus-kursus yang meliputi bidang seperti kejuruteraan, teknologi maklumat, perakaunan, perniagaan dan perhotelan.

TVET merupakan alternatif kepada pendidikan akademik yang memberikan penekanan kepada kemahiran teknikal dan praktikal bagi memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang.

Namun, terdapat cabaran yang dihadapi oleh TVET di Malaysia terutama dari segi kualiti dan pengiktirafan. Persepsi ramai yang masih mengutamakan pendidikan akademik berbanding pendidikan teknikal menjadi antara faktor cabaran bidang ini.

Masalah pengiktirafan sijil kemahiran juga menjadi cabaran utama di mana masih terdapat stigma yang menganggap bahawa sijil kemahiran hanya untuk golongan yang tidak berjaya dalam bidang akademik.

Selain itu, terdapat kekurangan pendedahan dan kerjasama pelopor industri dengan institusi latihan yang masih menjalani kursus bidang yang kurang relevan dengan keperluan industri. Pendekatan antara kerajaan dengan syarikat swasta yang lemah juga menyebabkan pengambilan pekerja dari luar negara untuk mengisi kekosongan kerja separa mahir meskipun terdapat graduan tempatan.

Antara cabarannya adalah meskipun ada banyak institusi berteraskan TVET, ia terletak di bawah kelolaan kementerian yang berlainan. Misalnya, IKBN merupakan inisiatif Kementerian Belia dan Sukan, Institut Kemahiran MARA (IKM) di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi manakala ILP di bawah Kementerian Sumber Manusia.

Ketidakseragaman dalam sukatan pelajaran dan polisi institusi, keadaan pembelajaran yang tidak berdasarkan industri terkini serta tiada bimbingan kerjaya menyukarkan usaha untuk menghasilkan graduan TVET berkemahiran tinggi.

Data menunjukkan meskipun 80 peratus pelatih TVET mendapat kerja, kebanyakannya masih lagi menerima gaji bulanan tidak lebih RM2,000 sebulan.

Masa Depan TVET dan peluang kerjaya di masa depan

Saya ingin mengimbas kembali pengalaman kerjaya awal saya sebagai pelatih teknologi maklumat (IT) bertauliah di awal 2000-an. Kegawatan ekonomi pada 1998 menyebabkan ramai pekerja diberhentikan melalui skim VSS dan MSS. Kerajaan menggalakkan program ‘upskilling’ dan ‘reskilling’ dengan kerjasama Pusat Sumber Manusia Berhad untuk industri IT.

Walaupun terpalit dengan krisis ekonomi pada masa itu, industri IT membangun dengan pesat dan terdapat banyak peluang pekerjaan dalam bidang ini.

Mereka yang diberhentikan kerja dan graduan universiti layak menjalani kursus profesional bersama pelopor teknologi IT seperti Microsoft dan Cisco. Mereka yang dipilih akan melalui latihan tiga bulan dengan elaun asas.

Setelah latihan tamat, mereka akan melalui peperiksaan untuk mendapatkan sijil professional seperti Microsoft Certified System Engineer (MCSE) dan Cisco Certified Network Analyst (CCNA) serta ditempatkan untuk bekerja di syarikat-syarikat swasta tempatan.

Hasilnya, ramai graduan pada masa itu memulakan kerjaya baru dan ada kenalan saya yang telah menjadi antara pelopor industri hari ini.

Kini dunia mungkin telah berubah, namun masih kelihatan syarikat-syarikat swasta Malaysia yang bergantung dengan pekerja ekspatriat yang dilihat lebih berdedikasi dan mahir. Walaupun ada kebenarannya, tanggapan ini harus diubah. Oleh itu, saya percaya - jika tafsiran saya betul - pengumuman belanjawan untuk TVET menetapi objektif untuk hala tuju pembangunan negara.

  • Kemahiran diperluaskan berdasarkan keperluan industri hari ini

  • Meningkatkan pendedahan kepada teknologi terbaru seperti aeronautik, automobil, robotik

  • Memperkenalkan pelan insentif dengan syarikat swasta

  • Memperkenalkan program penempatan kerja sehabisnya kursus

  • Menaikkan martabat TVET sebagai kerjaya bermaruah.

Kesimpulan

Kerjaya vokasional harus berdasarkan keperluan industri. Kursus yang ditawarkan tidak seharusnya menghadkan kerjaya sebagai seorang operator atau juruteknik, tetapi sebagai pekerja berkemahiran tinggi dalam industri berteknologi tinggi seperti IT.

Walaupun terdapat beberapa cabaran dalam pembangunan TVET di Malaysia, ada pelbagai usaha dan strategi yang dilaksanakan untuk meningkatkan mutu dan kerelevanan kursus-kursus TVET.

Penglibatan pemain industri seperti Petronas dan Sunway dengan insitusi latihan tempatan pastinya akan menjadi pemangkin pembangunan TVET sebagai fokus utama dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan kecemerlangan Malaysia dalam bidang industri dan perdagangan global.

Ini bukan kali pertama TVET dijadikan tumpuan dalam belanjawan negara. Namun kali ini jelas kelihatan iltizam kerajaan untuk mewujudkan dan memperkasa pekerja berkemahiran tinggi agar ia menjadi satu kerjaya bermaruah serta diiktiraf ramai.

Ramai anak muda tidak berminat dalam kerjaya vokasional, atas pelbagai faktor. Namun mereka perlu dibimbing dari usia muda bahawa pentingnya untuk membina kerjaya jangka masa panjang dan satu-satunya cara adalah membina kerjaya yang berdasarkan kemahiran khusus, tidak kira vokasional atau akademik.


LAI CHEN HENG adalah naib pengerusi PKR Wilayah Persekutuan dan pengamal bidang IT.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.